
PUTRAJAYA, 30 Ogos – Perniagaan dengan jualan tahunan tidak melebihi RM3 juta tidak lagi diwajibkan melaksanakan e-Invois selepas kerajaan menaikkan ambang pengecualian daripada RM1 juta setahun.
- Ambang pengecualian e-Invois dinaikkan bagi mengurangkan beban perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
- Perdana Menteri menegaskan langkah itu memberi ruang operasi lebih baik kepada PMKS menghadapi cabaran kos semasa.
- Inisiatif antara enam ikhtiar kerajaan, disertai peningkatan kemudahan pembiayaan mikro, akan berkuat kuasa 1 September.
Ketika mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu antara inisiatif kerajaan bagi mengurangkan beban peniaga kecil dan sederhana.
“Kerajaan turut mengambil beberapa langkah lain bagi menyokong sektor perniagaan, termasuk meningkatkan kemudahan pembiayaan mikro bagi tahun ini.
“Ambang pengecualian e-Invois bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM3 juta jualan tahunan,” katanya.
Jelas beliau, penambahbaikan berkenaan bertujuan memberikan lebih ruang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam menguruskan operasi perniagaan, khususnya dalam
menghadapi cabaran kos semasa.
Perdana Menteri mengumumkan inisiatif tersebut ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.
Kenaikan nilai ambang e-Invois merupakan antara enam ikhtiar baharu kerajaan yang akan berkuat kuasa 1 September ini.