
PUTRAJAYA, 30 Ogos – Waris rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan susulan tragedi banjir kilat dan tanah runtuh di Nepal diminta hadir ke balai polis berhampiran untuk menyerahkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) bagi proses pengecaman dan padanan profil identiti.
- Waris masih menunggu khabar mengenai ahli keluarga hilang; Sivakumar menunggu isteri Kalaimathi di Nepal.
- Beberapa jasad belum dikenal pasti terpaksa dikebumikan segera kerana kekurangan fasiliti penyimpanan.
- Polis dan IPD akan mengambil sampel DNA; waris diminta membawa anak untuk ujian, seorang di Singapura, seorang di Langkawi.
- Nepal akan menyimpan sampel DNA dan bukti pengenalan lain sebelum pengebumian untuk memastikan identiti mangsa dapat disahkan.
Sivakumar Kalimuthu, 63 tahun berkata, beliau bersama tiga anaknya masih menunggu khabar mengenai isterinya, Kalaimathi Karuppaiah, 57 tahun, yang berada di Nepal bagi tujuan ritual keagamaan.
Ujar beliau, ujian DNA itu antara persediaan berikutan penemuan beberapa jasad belum dikenal pasti di kawasan bencana yang terpaksa dikebumikan segera kerana ketiadaan fasiliti penyimpanan sesuai di lokasi.
“Pihak polis akan mengambil sampel DNA dan IPD akan menghubungi kami bagi tujuan tersebut.
“Saya juga perlu membawa anak saya untuk menjalani ujian DNA. Seorang anak berada di Singapura, seorang lagi di Langkawi, manakala seorang lagi tinggal bersama saya,” katanya ketika ditemui media selepas dimaklumkan berkenaan keperluan ujian itu pada sesi taklimat oleh Kementerian Luar di Wisma Putra, di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang lagi waris, Muhammad Ashraf, 33 tahun berkata, bapanya yang berusia 63 tahun ke Nepal untuk menyertai ekspedisi trekking menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
“Ya, itu proses biasa yang kami semua bersetuju untuk lakukan kerana kita tidak tahu apa yang berlaku. Jadi, perkara itu adalah proses atau langkah yang perlu kita lakukan,” katanya.
Menurut laporan media Nepal, pihak berkuasa negara itu akan menyimpan sampel DNA dan bukti pengenalan lain daripada mayat yang belum dikenal pasti sebelum proses pengebumian atau pengurusan jenazah dilakukan.
Langkah itu penting bagi memastikan identiti mangsa dapat disahkan dan jenazah diserahkan kepada keluarga masing-masing.
Terdahulu, taklimat tertutup oleh Kementerian Luar memaklumkan, waris rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan digalakkan menjalani ujian DNA di ibu pejabat polis berhampiran bermula esok, selepas menerima pemakluman rasmi.
Ujian itu akan digunakan sebagai rujukan silang profil identiti bagi membantu proses pengecaman mangsa kejadian itu yang berlaku pada Rabu lepas.