
PUTRAJAYA, 30 Ogos – Peruntukan bagi mempercepat akses digital dalam sektor kesihatan dinaikkan kepada RM1 bilion berbanding RM650 juta yang diumumkan sebelum ini.
- Peruntukan ditujukan untuk penyediaan Wi-Fi awam di klinik dan hospital serta pelaksanaan Rekod Perubatan Elektronik bagi mempercepat akses digital kesihatan.
- Fasa pembuktian konsep EMR di Klinik Kesihatan Padang Besar berjaya; doktor kini boleh akses maklumat pesakit elektronik, menjimatkan masa pesakit.
- Program AI untuk Rakyat beri 100,000 anak muda langganan percuma tiga bulan bagi tiga aplikasi AI, meningkatkan pendedahan kepada teknologi.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, peruntukan tambahan itu antara lain bagi penyediaan Wi-Fi awam di klinik kesihatan dan hospital kerajaan serta pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR).
Jelasnya, pelaksanaan EMR telah melalui fasa pembuktian konsep (POC) hasil kerjasama Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Kesihatan di Klinik Kesihatan Padang Besar.
Menerusi sistem itu, doktor boleh mengakses maklumat pesakit secara elektronik tanpa perlu merujuk dokumen fizikal, sekali gus menjimatkan masa pesakit.
“Di situ, doktor kini boleh mendapatkan maklumat mengenai pesakit tanpa merujuk dokumen fizikal. Jadi, semuanya diusahakan secara elektronik, dan ini menjimatkan masa bagi mereka yang ingin mendapatkan rawatan.
“Kita akan perluaskan. Saya akan adakan perbincangan. Pada peringkat awal, sebanyak 15 hospital dijangka akan dapat diselesaikan, tapi saya akan minta supaya angka ini dinaikkan lagi.
“Dan daripada 2,000 klinik kesihatan, kita akan cuba untuk pertingkatkan jumlah yang dapat diuruskan bagi tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Fahmi turut memaklumkan pihaknya akan memastikan segala amanat dan pengumuman Perdana Menteri, termasuk usaha serta kejayaan kerajaan dan bantuan yang disediakan, dapat disampaikan kepada rakyat secara menyeluruh.
“Perkara itu penting bagi memastikan rakyat memahami manfaat serta jumlah peruntukan yang disediakan kerajaan menerusi pelbagai inisiatif,” katanya.
Sementara itu, Datuk Seri Fahmi berkata seramai 100,000 anak muda berusia 18 hingga 30 tahun yang menyertai program AI untuk Rakyat layak menerima langganan percuma selama tiga bulan bagi tiga aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang diumumkan Perdana Menteri, hari ini.
Jelasnya, peserta yang memenuhi syarat akan menerima akses langganan percuma berkenaan sepanjang tempoh tiga bulan.
“Seperti yang Perdana Menteri umumkan, terdapat kuota untuk 100,000 anak muda berusia 18 hingga 30 tahun. Sekiranya mereka menyertai program AI untuk Rakyat ini, mereka layak menerima langganan percuma selama tiga bulan bagi tiga aplikasi AI yang telah dinyatakan oleh Perdana Menteri,” katanya.
Tambah beliau, maklumat terperinci mengenai pelaksanaan inisiatif berkenaan akan dikeluarkan dan diterbitkan oleh Kementerian Digital.
“Inisiatif itu dilihat dapat memberi peluang kepada golongan muda mendapatkan akses kepada teknologi AI, selain meningkatkan pendedahan terhadap penggunaan teknologi berkenaan,” jelasnya lagi.