
KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Hampir 300 penunggang motosikal menyertai Konvoi Kembara Merdeka Lembah Pantai bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan sempena sambutan Hari Kebangsaan.
- Konvoi bermula di Taman Sri Sentosa dan singgah di lima lokasi, menyerahkan Jalur Gemilang kepada MPP dan penduduk sebagai simbolik sambutan Hari Kebangsaan.
- Pengumuman kenaikan BUDI95 kepada 300 liter sebulan dan BUDI Diesel kepada 400 liter sebulan memberi manfaat kepada pemilik kenderaan pikap dan jip.
- Ambang penggunaan e-Invois dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM3 juta, dijangka manfaat lebih 1.1 juta syarikat PMKS kurangkan beban pematuhan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata konvoi berkenaan bermula di Taman Sri Sentosa sebelum bergerak ke lima lokasi hentian di sekitar kawasan Parlimen Lembah Pantai.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata peserta akan menyerahkan bendera Jalur Gemilang kepada wakil Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dan penduduk setempat sebagai simbolik menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan di setiap lokasi hentian.
Lima lokasi hentian terlibat ialah Taman Sri Sentosa, Kampung Pasir, IWK Eco Park, Vista Angkasa di Kampung Kerinchi dan yang terakhir di LRT Universiti.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata peningkatan kelayakan BUDI95 kepada 300 liter sebulan dan BUDI Diesel sehingga 400 liter sebulan antara pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 hari ini yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Budi RON95, BUDI95 dan juga BUDI Diesel dinaikkan. Bagi BUDI95, ia dinaikkan semula kepada 300 liter, manakala Budi Diesel dinaikkan kepada 400 liter, terutama bagi pemilik kenderaan pikap dan jip,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Lembah Pantai di Taman Sri Sentosa di sini, hari ini.
Tambah beliau, penetapan ambang penggunaan e-Invois yang juga dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM3 juta dijangka memberi manfaat kepada lebih 1.1 juta syarikat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Katanya, langkah berkenaan diharap dapat mengurangkan beban pematuhan serta memudahkan pengurusan operasi perniagaan golongan berkenaan.