
BANGI, 30 Ogos – Kejohanan Bola Sepak Antara Masjid Seluruh Malaysia – Piala Menteri Hal Ehwal Agama 2026 tampil dengan mesej perpaduan sempena kemerdekaan dengan setiap pasukan diwajibkan menampilkan seorang pemain bukan Islam.
- Masjid memberi ruang kepada golongan muda dan warga emas untuk bersama dalam pelbagai aktiviti, menandakan anjakan baharu peranan masjid.
- Masjid berperanan menghimpunkan pelbagai segmen masyarakat melalui aktiviti kerohanian dan riadah jasmani.
- Masjid Sultan Abu Bakar Johor dinobat juara, Masjid Sultan Ahmad Shah 2 Pahang naib juara, dua masjid kongsi tempat ketiga.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan berkata, kejohanan ‘Aksi Bola Merdeka’ yang dianjurkan buat julung kali pada Sabtu dan Ahad itu, menghimpunkan 22 masjid dari seluruh negara di padang Institut Latihan Sultan Ahmad Shah (ILSAS), di sini.
Menurutnya, masjid-masjid di seluruh negara kini melangkah ke satu anjakan baharu dengan memberi ruang kepada golongan muda untuk bersama-sama warga emas dalam pelbagai aktiviti.
“Malah, setiap pasukan turut disertai wakil daripada masyarakat bukan Islam, sekali gus memperlihatkan peranan masjid sebagai platform untuk merapatkan hubungan dan memperkukuh perpaduan masyarakat.
“Masjid bukan sahaja menjadi tempat ibadah, malah berperanan menghimpunkan pelbagai segmen masyarakat menerusi aktiviti kerohanian dan riadah jasmani, ” katanya.
Turut hadir sebagai tetamu khas ialah dua bekas pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Amri Yahyah dan Indra Putra Mahayuddin.
Majlis tersebut menyaksikan Masjid Sultan Abu Bakar, Johor dinobatkan sebagai juara.
Manakala, naib juara disandang Masjid Sultan Ahmad Shah 2 Pahang.
Tempat ketiga dikongsi Masjid Al-Muqarabbin, Bandar Tasik Selatan dan Masjid Kota Damansara, Selangor.
Juara membawa pulang wang tunai RM3,000, piala pusingan dan pingat.