
KUALA LUMPUR, 5 Julai – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-84 kepada Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, hari ini.
- Doa agar Sultan Sallehuddin dirahmati, diberi kebahagiaan dan dilanjutkan usia oleh Allah SWT.
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah dan menzahirkan ucapan tahniah serta mendoakan rahmat, hidayah dan kesejahteraan keluarga diraja.
- Ungkapan "Daulat Tuanku. Dirgahayu Tuanku." digunakan sebagai penghormatan dan doa daripada Perdana Menteri.
Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda mendoakan agar Sultan Sallehuddin dirahmati, diberi kebahagiaan dan dilanjutkan usia oleh Allah SWT.
“Semoga Allah SWT merahmati baginda dengan kebahagiaan dan melanjutkan usia baginda,” titah Seri Paduka Baginda.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut merafak sembah dan menzahirkan ucapan tahniah kepada Sultan Sallehuddin.
Perdana Menteri turut mendoakan agar Sultan Sallehuddin, Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah Allah SWT serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.
“Daulat Tuanku. Dirgahayu Tuanku,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook. – BERNAMA