
ISKANDAR PUTERI, 5 Julai – Penubuhan Suruhanjaya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi menggantikan Majlis TVET Negara serta pembentangan akta berkaitan di Parlimen dijangka dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.
- Perundangan dan penguatkuasaan TVET perlu diperkukuh untuk pelaksanaan komprehensif, mencontohi model negara maju.
- Sesi libat urus giat dijalankan sebelum dikemukakan kepada Kabinet; langkah membawa ke Dewan Rakyat dan Dewan Negara sedang diuruskan.
- Kerajaan komited menjadikan agenda TVET pemacu utama ekonomi bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan kompetitif.
Keperluan itu bertujuan membolehkan aspek perundangan serta penguatkuasaan dasar TVET negara dapat dilaksana dengan lebih komprehensif, mencontohi model yang diguna pakai di negara-negara maju.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika memaklumkan perkara berkenaan menjelaskan ketika ini sesi libat urus giat dilaksana
sebelum dikemukakan kepada Kabinet untuk kelulusan.
“Walaupun kelulusan secara dasar telah diperoleh, kelulusan untuk membawa perkara berkenaan ke Dewan Rakyat dan Dewan Negara sedang diuruskan kerana melibatkan aspek perundangan yang teliti.
“Langkah itu membuktikan komitmen kerajaan dalam menjadikan agenda TVET sebagai pemacu utama ekonomi negara demi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang kompetitif di persada global,”katanya selepas merasmikan Program Jelajah TVET MARA Peringkat Negeri Johor di sini.
Hadir sama Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang serta Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.