
PUTRAJAYA, 5 Julai – Pelajar antarabangsa hanya merangkumi 159,138 orang atau 12.6 peratus daripada keseluruhan 1,264,541 enrolmen di institusi pendidikan tinggi awam dan swasta negara, berdasarkan data rasmi menerusi sistem MyMoheS setakat 31 Disember 2025.
- KPT menyifatkan dakwaan pelajar antarabangsa mengurangkan peluang pelajar tempatan sebagai tidak berasas dan mengelirukan.
- Di universiti awam peringkat prasiswazah, 96.56% pelajar adalah tempatan manakala 3.44% adalah antarabangsa.
- Majoriti pelajar antarabangsa mengikuti pengajian pascasiswazah dan tidak bersaing dengan lepasan SPM, STPM, matrikulasi atau diploma.
- Pelajar antarabangsa membayar yuran penuh tanpa subsidi, memenuhi syarat saringan dan menyumbang kepada kewangan, penyelidikan serta penarafan universiti.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata data berkenaan menolak dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr. Haim Hilman Abdullah kononnya kemasukan pelajar antarabangsa ke Universiti Awam (UA) mengurangkan peluang pelajar tempatan melanjutkan pengajian.
“Dakwaan tersebut adalah tidak berasas, mengelirukan dan gagal menggambarkan realiti sebenar sistem pendidikan tinggi negara,” menurut KPT dalam satu kenyataan.
KPT memberi jaminan kepentingan, kebajikan dan akses pendidikan pelajar tempatan kekal menjadi keutamaan kerajaan.
Bagi UA, jumlah keseluruhan enrolmen ialah 634,706 orang dengan 56,565 orang atau 8.9 peratus daripadanya ialah pelajar antarabangsa.
“Pada peringkat prasiswazah, pelajar tempatan berjumlah 502,212 orang atau 96.56 peratus daripada keseluruhan 520,105 enrolmen. Pelajar antarabangsa pula berjumlah 17,893 orang atau 3.44 peratus.
“Di peringkat pascasiswazah, 38,672 daripada 114,601 pelajar ialah pelajar antarabangsa,” jelas KPT.
Menurut kementerian itu lagi, data tersebut menunjukkan majoriti pelajar antarabangsa mengikuti pengajian pascasiswazah dan tidak bersaing dengan lepasan SPM, STPM, matrikulasi atau diploma bagi program prasiswazah.
Selain itu, lima universiti penyelidikan termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merekodkan pelajar tempatan seramai 145,727 orang atau 78 peratus daripada keseluruhan 186,824 pelajar.
“Daripada 41,097 pelajar antarabangsa di universiti berkenaan, 28,135 orang atau 68.5 peratus berada di peringkat pascasiswazah.
“Baki 12,962 orang mengikuti program prasiswazah melalui laluan terbuka selepas kuota arus perdana menerusi UPUOnline dipenuhi,” jelas kenyataan tersebut.
KPT turut memaklumkan pelajar antarabangsa membayar yuran penuh tanpa menerima subsidi kerajaan dan perlu memenuhi syarat akademik serta proses saringan ditetapkan universiti.
Kehadiran mereka turut menyumbang kepada kewangan universiti, penyelidikan antarabangsa, penerbitan berimpak tinggi dan kedudukan universiti dalam penarafan dunia.
Malaysia kini menerima pelajar dari lebih 180 negara, termasuk 32,549 pelajar dari China yang mengikuti pengajian di UA.