PAT, KPN mendahului senarai penerima Darjah, Bintang Kebesaran Kedah

Sultan Kedah berkenan menganugerahkan darjah Dato’ Seri Setia Pahlawan Yang Amat Dihormati (SSPK) kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman yang membawa gelaran Datuk Seri Pahlawan / Foto BERNAMA 

ALOR SETAR, 3 Julai – Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah perkenan menyampaikan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran kepada 23 penerima bersempena sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke 84.

RINGKASAN BERITA AI
  • Istiadat Menyembah Tahniah dan penganugerahan berlangsung di Istana Anak Bukit.
  • Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dianugerahkan SSPK bergelar Dato' Seri Pahlawan.
  • Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail turut menerima anugerah SSPK.
  • Secara keseluruhan, Baginda menyampaikan anugerah kepada 247 individu dalam majlis berasingan.

Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran berlangsung di Istana Anak Bukit, di sini.

Mendahului senarai, Penglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman yang menerima anugerah Darjah Dato’ Seri Setia Pahlawan Yang Amat Dihormati (S.S.P.K) yang membawa gelaran Dato’ Seri
Pahlawan.

Turut menerima anugerah sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail.

Sementara itu, Orang Besar Enam Belas dianugerahkan kepada Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin yang membawa gelaran Dato’ Jaya Perkasa dan Dato’ Wira Tan Hong Eng yang membawa gelaran Dato’ Jaya Dermawan.

Orang Besar Tiga Puluh Dua pula dianugerahkan kepada Dato’ Mohamad Che Nai yang membawa gelaran Dato’ Johan Bakti dan Datuk Seri Boon Som a/l Inong yang membawa gelaran Dato’ Biram Jaya.

Darjah Dato’ Setia Sultan Sallehuddin Kedah (D.S.S.S) membawa gelaran Dato’ dianugerahkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Dato’ Zubir Ahmad.

Empat penerima pula menerima Darjah Dato’ Setia Diraja Kedah (D.S.D.K.) yang membawa gelaran Dato’, masing-masing Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd, Dato’ Radzuan Osman, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Alor Setar, Dato’ Abdul Gafar Yahya, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Dato’ Zakaria Shaaban; dan Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Dato’ Dr. Abdul Salim Tajudin.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah pula menerima Darjah Dato’ Setia Pahlawan (D.D.S.P.) yang membawa gelaran Dato’.

Selain itu, Setia Sultan Sallehuddin Kedah (S.S.S.) dianugerahkan kepada dua penerima serta Setia Diraja Kedah (S.D.K) kepada 9 penerima.

Secara keseluruhan, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin perkenan menyampaikan anugerah kepada 247 individu pada majlis yang diadakan secara berasingan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.