
SHAH ALAM, 22 April – Lembaga Zakat Selangor menegaskan kes penyelewengan dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta yang sedang disiasat pihak berkuasa tidak melibatkan institusi berkenaan.
- Zakat Selangor berada di bawah seliaan MAIS dengan sistem tadbir urus yang ketat dan pemantauan menyeluruh.
- Dana tertakluk kepada audit dalaman, audit luaran dan semakan pihak berautoriti bagi memastikan ketelusan dan integriti.
- Zakat Selangor tegas menentang salah guna dana; orang ramai disaran rujuk saluran rasmi dan elak penyebaran maklumat tidak tepat.
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Mohd Khaidzir Shahari dalam kenyataan berkata, kes berkenaan melibatkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tiada kaitan dengan pengurusan zakat oleh agensi tersebut.
Menurutnya, sebagai institusi zakat rasmi negeri di bawah seliaan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), semua pengurusan dana tertakluk kepada sistem tadbir urus yang ketat serta pemantauan menyeluruh.
Ini termasuk audit dalaman, audit luaran serta semakan pihak berautoriti bagi memastikan setiap dana diurus secara telus dan berintegriti.
Sehubungan itu, Zakat Selangor berpendirian tegas terhadap sebarang bentuk salah guna dana zakat.
Orang ramai turut disaran mendapatkan maklumat yang tepat melalui saluran rasmi serta menunaikan zakat menerusi platform yang sah.
Pada masa sama, semua pihak diingatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak benar yang boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat.