Wanita warga China maut terjatuh dari aras 3 KLIA, disyaki cuba bunuh diri

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 2 Mei –Polis mengesahkan kejadian seorang wanita warganegara China yang maut akibat terjatuh dari Aras 3 Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA T2).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejadian disyaki cubaan membunuh diri oleh mangsa, menurut kenyataan polis.
  • Rakaman tular menunjukkan wanita menangis dan menjerit sebelum terjun, petugas keselamatan cuba menenangkan namun gagal.
  • Pasukan perubatan beri rawatan kecemasan, mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya; kes diklasifikasi SDR dan dalam siasatan.

Ketua Polis Daerah KLIA, ACP M. Ravi berkata, kejadian yang berlaku sekitar pukul 2.20 petang, semalam disyaki merupakan cubaan membunuh diri oleh mangsa.

Kes yang tular di media sosial itu menunjukkan wanita berkenaan sedang duduk di kawasan luar balkoni aras 3 dalam keadaan menangis dan menjerit secara agresif, sebelum bertindak terjun ke kawasan loading bay KLIA 2.

“Petugas dan pengawal keselamatan cuba menenangkan wanita tersebut namun tidak berjaya.

“Salah seorang anggota keselamatan KLIA cuba mendekati untuk menyelamatkannya, namun wanita tersebut bertindak meronta dan terjun ke kawasan loading bay KLIA 2,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut memaklumkan pasukan perubatan yang tiba di lokasi telah memberikan rawatan kecemasan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia pada 5.09 petang di Hospital Putrajaya ketika mendapat rawatan lanjut.

“Semakan mendapati wanita berusia 27 tahun itu dijadualkan menaiki penerbangan pulang ke China pada 2 Mei.

“Kes diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR) dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA di talian 03-8776 8222 bagi membantu siasatan.