
KOTA BHARU, 14 April- Seorang pelajar yang cedera parah selepas disyaki dirempuh oleh seorang guru wanita di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas di sini, Ahad lepas, dilapor telah stabil dan akan menjalani pembedahan hari ini.
- Pembedahan melibatkan jahitan luka serta rawatan oleh pakar bedah plastik dan ortopedik.
- Kecederaan termasuk koyakan pada telinga, sedikit patah kaki dan kemungkinan parut pada muka.
- Hospital beri perhatian sokongan psikososial, risiko gangguan tekanan pascatrauma memerlukan penilaian kaunselor dan pakar psikologi.
- Siasatan awal polis mendapati pemandu dipercayai tersalah menekan pedal minyak sebelum kenderaan merempuh mangsa.
Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata Zara Akhtar Zamzuri, 13, akan menjalani pembedahan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) yang melibatkan
prosedur jahitan luka serta rawatan oleh pakar bedah plastik dan ortopedik.
Menurutnya, pembedahan dijangka mengambil masa kira-kira satu jam dan keadaan Zara setakat ini stabil tanpa sebarang kecederaan serius.
“Kalau ikut kecederaan dialami, ada koyakan pada telinga dan hari ini pakar bedah plastik akan melakukan jahitan pembedahan, selain terdapat sedikit patah pada kaki yang memerlukan rawatan lanjut.
“Kecederaan pada muka mungkin meninggalkan parut, namun pakar akan berusaha meminimumkannya melalui rawatan bersesuaian,” katanya kepada pemberita di HRPZ II hari ini.
Dalam masa sama, beliau berkata pihak hospital turut memberi perhatian kepada aspek sokongan psikososial memandangkan mangsa berkemungkinan mengalami trauma akibat kejadian itu, termasuk kehilangan rakan rapat dalam insiden berkenaan.
“Kita khuatir akan berlaku gangguan tekanan pascatrauma yang memerlukan rawatan kaunselor atau pakar psikologi untuk penilaian awal terhadap mangsa serta ahli keluarga dan rakan terlibat,” katanya.
Penilaian awal akan dilakukan dalam tempoh 48 jam selepas pembedahan bagi memastikan keadaan emosi mangsa dan keluarga berada dalam keadaan stabil.
Dalam kejadian 1.50 tengah hari pada Ahad, seorang lagi mangsa, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dipercayai dirempuh sebuah kenderaan yang dipandu guru wanita terbabit.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Mohd Azmir Damiri dilaporkan berkata siasatan awal mendapati pemandu kereta berkenaan dipercayai tersalah menekan pedal minyak sebelum terbabas merempuh mangsa.