
KUALA TERENGGANU, 14 April- Bekas eksekutif pentadbiran dan sumber manusia di sebuah syarikat di Dungun, Terengganu didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku salah mengemukakan dokumen tuntutan bayaran palsu, tiga tahun lepas.
- Mahkamah Sesyen mendenda RM5,000; hukuman penjara lima bulan jika gagal bayar
- Tertuduh lampirkan invois palsu tuntutan RM2,520 berkaitan pembelian untuk program syarikat Januari 2023
- Mahkamah mengambil kira faktor mitigasi kesihatan dan tanggungjawab keluarga; tertuduh bayar denda selepas prosiding
Maslidah Mohamad, 45, membuat pengakuan itu sebaik kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tuan Azman Mustapha tanpa diwakili peguam.
Mengikut pertuduhan, dia dengan curang melampirkan satu dokumen invois pada Januari 2023 bagi tujuan tuntutan bayaran berjumlah RM2,520 berkaitan pembelian barangan untuk sebuah program yang dianjurkan oleh syarikat tempatnya bekerja ketika itu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.
Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda.
Sewaktu prosiding, Maslidah merayu agar hukuman diringankan atas alasan kesalahan pertama selain faktor kesihatan termasuk menghidap kanser dan pernah diserang strok, serta perlu menjaga anak autistik dan bapa yang uzur.
Selepas mempertimbangkan mitigasi dan hujahan pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mahkamah menjatuhkan hukuman berkenaan.
Maslidah kemudian menjelaskan bayaran denda selepas prosiding tamat.