
KUALA LUMPUR, 15 Mei – Seramai 360 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan dalam 78 serbuan yang dilaksanakan Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) di bawah Op Taring Wawasan Kelantan (OTWK) dan Op Delta, dalam tempoh Januari hingga hari ini.
- Operasi tertumpu di sepanjang Sungai Golok dan kawasan sempadan Kelantan.
- Penangkapan sembilan tekong darat dipercayai dalang penyeludupan migran di beberapa daerah utama.
- Antara tekong darat yang ditahan, enam merupakan warga tempatan.
- Sebanyak 110 kes disabitkan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan ATIPSOM 2007.
Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain berkata, operasi tertumpu di kawasan sempadan negeri Kelantan khususnya di sepanjang Sungai Golok.
Menurut beliau, operasi berkenaan turut membawa kepada penangkapan sembilan ‘tekong darat’ yang dipercayai menjadi dalang utama aktiviti penyeludupan migran di sekitar daerah Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah dan Kota Bharu.
“Daripada jumlah 360 PATI yang ditahan, warga Myanmar mencatatkan bilangan tertinggi iaitu seramai 264 orang, diikuti Thailand (40), Bangladesh (30), Indonesia (9), India (8), dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata sembilan tekong darat yang ditahan turut melibatkan enam warga tempatan.
Menurutnya, siri serbuan itu melibatkan kekuatan anggota daripada Ibu Pejabat Briged Tenggara bersama Batalion 7, Batalion 8 dan Batalion 9 PGA.
Dalam pada itu, beberapa lokasi berisiko dikenal pasti menjadi laluan utama kemasukan PATI termasuk pengkalan haram di Rantau Panjang, Pengkalan Kubor, Jeram Perdah dan Chabang Empat.
“Setakat ini, sebanyak 110 kes telah disabitkan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” jelasnya.
Tegas beliau, PGA akan terus memperketat kawalan di sempadan negara bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan rakyat sentiasa terpelihara daripada ancaman jenayah rentas sempadan.