
KUCHING, 15 Mei – 23 lelaki termasuk seorang remaja dipercayai ahli kumpulan jenayah terancang yang terlibat dalam pelbagai aktiviti jenayah kekerasan di Sarawak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
- Tertuduh berusia 19 hingga 44 tahun didakwa mengikut Seksyen 130V(1), hukuman penjara lima hingga 20 tahun jika sabit.
- Didakwa menganggotai Geng 24 Hung-Hung antara Disember 2021 hingga April lepas di ladang kelapa sawit Kampung China/Dayak, Sematan, Lundu.
- Tiada pengakuan direkodkan; kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi selaras Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.
- Tidak dibenarkan jaminan; kawalan keselamatan ketat di mahkamah. Tangkapan hasil Op Pusak Merah menyelesaikan sekurang-kurangnya 25 kes jenayah.
Kesemua tertuduh yang berusia lingkungan 19 hingga 44 tahun, didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima tahun hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Mereka didakwa menganggotai “Geng 24 Hung-Hung” antara Disember 2021 hingga April lepas di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung China/Dayak, Sematan di Lundu.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi selaras dengan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.
Kesemua tertuduh yang didakwa secara berasingan di hadapan Hakim Iris Awen Jon, Noorhisham Mohd Jaafar dan Musli Ab Hamid itu, tidak dibenarkan sebarang jaminan.
Terdahulu, kawalan keselamatan ketat dilaksanakan di mahkamah dengan anggota polis berpakaian taktikal dan bersenjata ditempatkan berhampiran semua tertuduh serta galeri awam yang dipenuhi ahli keluarga selain media.
Kesemua tertuduh tiba di kompleks mahkamah kira-kira pukul 12.30 tengah hari, dan mereka dibawa dari pusat tahanan menggunakan dua kenderaan polis yang dikawal rapi.
Mereka ditahan menerusi Op Pusak Merah yang dijalankan dari 19 hingga 23 April lalu oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Sarawak.
Geng tersebut dipercayai aktif sejak 2019 dan tangkapan itu berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 25 kes jenayah.