
KEMAMAN 15 Mei – Lima sekeluarga berdepan detik cemas selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki mereka, terbakar di Kemaman, Terengganu, tengah hari tadi.
- Keluarga berjaya menyelamatkan diri manakala kenderaan hangus sepenuhnya.
- Bomba Bandar Cheneh Baharu dengan sebuah jentera dan lapan anggota kawal kebakaran dalam kira-kira lima minit.
- Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih disiasat; mangsa nampak asap tebal di bawah kenderaan sebelum api merebak.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.44 tengah hari itu, kesemua mangsa berjaya menyelamatkan diri, manakala kenderaan SUV dinaiki mereka musnah sepenuhnya.
Kejadian berlaku di Jalan Jerangau–Jabor berhampiran dengan Bandar Cheneh Baharu, Kemaman, Terengganu.
Ketika kejadian, kesemua mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Bandar Ajil, Hulu Terengganu selepas menziarahi ahli keluarga mereka di Bandar Kuantan, Pahang.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Cheneh Baharu dengan kekuatan sebuah jentera dan lapan anggota, berjaya mengawal kebakaran kira-kira lima minit kemudian.
Operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya kira-kira pukul 1.35 tengah hari.
Punca kebakaran serta anggaraan kerugian masih disiasat.
Menurut mangsa, Nurul Najwa Wahid, 38 tahun, sebelum kejadian dia terlihat asap tebal di bawah kenderaan dinaiki itu sebelum memaklumkan kepada suaminya.
Dia kemudiannya menjerit sambil mengarahkan kesemua tiga anak lelakinya keluar dari kenderaan berkenaan, sebelum api mula merebak dan marak di bahagian hadapan kereta.
“Kami jalan macam biasa, tiba-tiba nampak asap di sebelah bahagian tepi kereta, sebelum kereta terberhenti-berhenti dan kemudian nampak api di bahagian hadapan, kami semua pakat terjun kereta. Kejadian berlaku memang cepat sangat. Masa keluar brang dekat bonet kereta tu pun api dah menyala. Anak-anak memang dah lari jauh dah,” katanya ketika ditemui di sini.
Nurul Najwa berkata, walaupun sedih dengan kejadian yang berlaku itu, dia tetap bersyukur kerana beliau sekeluarga sempat menyelamatkan diri.