Fokus Amerika beralih kepada perang Iran, berbanding konflik Rusia dengan Ukraine – Putin

Foto AFP

ST. PETERSBURG, 5 Jun – Presiden Rusia, Vladimir Putin mendakwa keutamaan Amerika Syarikat (AS) kini tertumpu kepada perang dengan Iran berbanding usaha mencari penyelesaian kepada konflik Rusia dengan Ukraine.

RINGKASAN BERITA AI
  • Putin mendakwa pentadbiran AS mengalihkan tumpuan ke konflik Asia Barat kerana isu Iran dianggap lebih mendesak.
  • Trump berkata usaha menyelesaikan konflik Ukraine diteruskan dan menyambut cadangan pertemuan antara Zelensky dan Putin.
  • Trump pernah berjanji menamatkan perang Rusia-Ukraine tetapi perhatian pentadbiran kini lebih tertumpu kepada Iran.

Bercakap kepada wartawan asing termasuk AFP di sini pada Jumaat, Putin berkata, pentadbiran Presiden AS, Donald Trump terpaksa mengalihkan perhatian kepada konflik di Asia Barat kerana ia dianggap lebih mendesak ketika ini.

“Pada masa ini, isu penyelesaian satu lagi konflik iaitu yang melibatkan Iran amat mendesak. Kita semua dapat melihat dan memahami bahawa AS memberi keutamaan kepada isu ini mengatasi perkara lain,” katanya.

Sementara itu di Washington, Trump menegaskan bahawa usaha mencari penyelesaian kepada konflik Ukraine masih diteruskan dan menyambut baik cadangan pertemuan antara Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dengan Putin.

“Saya gembira mereka mungkin akan bertemu dan kami banyak membantu ke arah itu. Mereka perlu melakukannya dan menyelesaikannya,” katanya kepada pemberita di Oval Office.

Trump sebelum ini berjanji untuk menamatkan perang Rusia dengan Ukraine selepas kembali memegang jawatan Presiden AS, namun perhatian pentadbirannya kebelakangan ini lebih banyak tertumpu kepada perang dengan Iran. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.