Rusia sedia adakan rundingan dengan Ukraine di Alaska

FOTO REUTERS

RUSIA, 5 Jun – Presiden Rusia, Vladimir Putin menegaskan negaranya bersedia sepenuhnya untuk mengadakan rundingan dengan Ukraine di sebuah kemudahan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di Anchorage, Alaska.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rusia komited mencari penyelesaian rundingan berdasarkan rangka kerja dibincangkan bersama Presiden AS Donald Trump pada Ogos 2025.
  • Ukraine menolak rangka kerja itu kerana ia melibatkan penyerahan sebahagian wilayahnya kepada Rusia.
  • Putin mendakwa tentera Rusia menguasai sepenuhnya Luhansk, 85 peratus Donetsk dan 80 peratus Zaporizhzhia.
  • Zelensky cadangkan rundingan langsung dengan Putin, gencatan senjata penuh dan pertukaran tawanan perang "semua untuk semua".

Menurut Putin, Rusia masih komited untuk mencari penyelesaian secara rundingan berdasarkan rangka kerja yang dibincangkan bersama Presiden AS, Donald Trump semasa pertemuan di Anchorage pada Ogos 2025.

“Moscow bersedia menerima kompromi yang dicapai dalam perbincangan tersebut dan berharap Kiev turut mengambil pendirian sama,” katanya ketika menghadiri Forum Ekonomi Antarabangsa St. Petersburg ke-29 pada Khamis.

Bagaimanapun, Ukraine sebelum ini menolak rangka kerja berkenaan kerana ia melibatkan penyerahan sebahagian wilayah Ukraine kepada Rusia.

Dalam perkembangan berkaitan, Putin mendakwa tentera Rusia kini menguasai sepenuhnya wilayah Luhansk, selain mengawal 85 peratus wilayah Donetsk dan 80 peratus wilayah Zaporizhzhia.

Sementara itu, Utusan Khas Presiden Rusia, Kirill Dmitriev berkata hubungan antara Rusia dan AS berhubung isu Ukraine menunjukkan perkembangan positif meskipun terdapat usaha pihak tertentu untuk menggagalkan proses rundingan.

Beliau menolak dakwaan bahawa hubungan antara Moscow dan Washington semakin renggang, sebaliknya menuduh beberapa negara Eropah menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh menjejaskan usaha perdamaian.

Dmitriev turut memaklumkan bahawa beliau telah mengadakan perbualan telefon dengan utusan khas AS, Steve Witkoff, serta menantu Trump, Jared Kushner bagi membincangkan kerjasama ekonomi dua hala.

Menurutnya, pihak AS menekankan kepentingan mengutamakan keamanan berbanding meneruskan provokasi dan konfrontasi.

Beliau berkata Washington terus menggalakkan usaha damai dan berharap Ukraine turut menyertai proses tersebut.

Dalam perkembangan sama, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menerbitkan surat terbuka kepada Putin yang mencadangkan rundingan secara langsung antara kedua-dua pemimpin bagi menamatkan konflik berkenaan.

Menurut Zelensky, negara-negara Eropah serta AS perlu turut terlibat dalam rundingan damai itu.

Beliau turut menyatakan kesediaan Ukraine untuk melaksanakan gencatan senjata sepenuhnya sepanjang rundingan berlangsung dan mencadangkan pertukaran tawanan perang berdasarkan prinsip “semua untuk semua”. -REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.