Bot karam: Operasi hari kelima temukan mayat ke-12, dua masih hilang

Mayat mangsa wanita itu ditemukan 31.5 batu nautika dari tempat kejadian oleh nelayan tempatan / foto FB Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

IPOH, 15 Mei – Mayat ke-12 mangsa bot karam di perairan Pulau Pangkor ditemukan pagi tadi, dalam operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari kelima.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mayat wanita ditemukan 31.5 batu nautika dari lokasi kejadian oleh nelayan tempatan.
  • Mayat diserahkan kepada PERKASA 1239 dan tiba di Jeti PPM Kampung Acheh pada 2.35 petang.
  • Operasi SAR bermula 7 pagi dengan radius pencarian kira-kira 215.14 batu nautika persegi.
  • Tujuh aset Maritim, TLDM dan PPM dikerahkan untuk mencari dua lagi mangsa yang masih hilang.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak dalam kenyataan memaklumkan, mayat wanita itu ditemukan 31.5 batu nautika dari tempat kejadian oleh nelayan tempatan.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada aset milik APMM, iaitu PERKASA 1239 dan tiba di Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh pada 2.35 petang tadi,” menurut kenyataan itu.

Operasi SAR yang bermula seawal 7.00 pagi tadi dilaksanakan dalam radius pencarian meliputi kawasan seluas kira-kira 215.14 batu nautika persegi dari lokasi kejadian.

Operasi turut melibatkan tujuh aset, iaitu Kapal Maritim (KM) Malawali (APMM), Benteng 1203 (APMM), KD Sri Indera Sakti (TLDM) FCB 1001 (TLDM), FCB 1030, PSC 16 (Pasukan Polis Marin (PPM)) dan PSC 24 (PPM) bagi mencari dua lagi mangsa yang masih hilang.

Dalam kejadian 11 Mei lepas, sebuah bot dipercayai membawa 37 migran warga Indonesia dilaporkan tenggelam kira-kira 8.2 batu nautika dari Pulau Pangkor ketika dalam perjalanan menuju ke beberapa destinasi di Malaysia.

Setakat ini, sebanyak 23 mangsa berjaya diselamatkan.- BERNAMA