Empat lagi mayat ditemukan, jumlah mangsa bot karam mungkin melebihi jangkaan

Tiga mangsa ialah lelaki dan dijumpai pada kedudukan kira-kira 2.5 batu nautika barat daya Pulau Buloh, manakala satu lagi belum dikenal pasti identitinya dan ditemukan sekitar 21.4 batu nautika barat daya Pulau Sangga Kechil. Foto Maritim Malaysia

LUMUT, 16 Mei – Empat lagi mayat mangsa bot membawa migran warga Indonesia yang tenggelam di perairan Pulau Pangkor ditemukan, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang maut meningkat kepada 16 orang setakat ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiga mayat lelaki ditemui kira-kira 2.5 batu nautika barat daya Pulau Buloh.
  • Satu mayat belum dikenal pasti ditemukan sekitar 21.4 batu nautika barat daya Pulau Sangga Kechil.
  • Satu mayat ditemui oleh Maritim (PERKASA 1238) sekitar 3 petang; tiga lagi dijumpai TLDM sekitar 5.45 petang.
  • Jumlah yang diselamatkan 23 orang; jumlah keseluruhan setakat ini 39, meningkat dari laporan awal 37.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata tiga daripada mangsa ialah lelaki dan dijumpai pada kedudukan kira-kira 2.5 batu nautika barat daya Pulau Buloh, manakala satu lagi belum dikenal pasti identitinya dan ditemukan sekitar 21.4 batu nautika barat daya Pulau Sangga Kechil.

Mayat yang belum dapat disahkan identiti itu dijumpai oleh pihak Maritim melalui PERKASA 1238 sekitar sekitar 3 petang, manakala tiga lagi dijumpai oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sekitar 5.45 petang semalam.

Beliau berkata jumlah mangsa yang diselamatkan ialah 23 orang, manakala 16 lagi terkorban, menjadikan jumlah keseluruhan 39 setakat ini berbanding 37 seperti dilaporkan sebelum ini.

Hari ini merupakan hari ketujuh operasi mencari dan menyelamat dijalankan dan jika tiada penemuan mayat, operasi berkenaan berkemungkinan ditamatkan.

Insiden bot karam pada 11 Mei lepas dipercayai membawa migran warga Indonesia, tenggelam kira-kira 8.2 batu nautika dari Pulau Pangkor ketika dalam perjalanan ke beberapa destinasi di Malaysia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.