JKN siasat kes bayi patah tulang paha ketika terima rawatan di hospital

Foto tular bapa bayi, Muhammad Nor Fadly Mohd Shaidi menunjukkan laporan polis yang dibuat susulan insiden yang menimpa anaknya.

SUNGAI PETANI, 16 Mei – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Bebas bagi menyiasat secara terperinci isu tular berkaitan bayi berusia 13 hari yang mengalami patah tulang paha semasa mendapat rawatan di sebuahhospital di Sungai Petani.

RINGKASAN BERITA AI
  • JKN Kedah menjalankan siasatan dalaman dan memberi kerjasama kepada polis selepas waris membuat laporan polis pada 11 Mei.
  • Bayi dilahirkan melalui pembedahan pada 28 April; pemeriksaan fizikal awal mendapati keadaan bayi baik.
  • Pada 10 Mei paha kanan bayi bengkak; X-ray mengesan retak tulang paha dan rawatan segera diberikan.
  • Bayi menerima rawatan optimum, dipantau setiap hari oleh pakar pediatrik dan ortopedik; proses penyembuhan berjalan baik, dijangka sembuh dua minggu.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya telah menjalankan siasatan dalaman dan memberi kerjasama kepada pihak polis yang sedang menjalankan siasatan selepas waris bayi tersebut membuat laporan polis pada 11 Mei lalu.

“Bayi tersebut telah dilahirkan melalui pembedahan pada 28 April lalu. Pemeriksaan fizikal setelah dilahirkan mendapati bayi berada dalam keadaan baik.

“Bagaimanapun pada 10 Mei lalu, paha kanan bayi didapati bengkak. Pemeriksaan X-ray menunjukkan bahawa tulang paha kanan bayi tersebut retak dan rawatan segera telah diberikan,” menurut kenyataan itu.

Pihak JKN turut memaklumkan, ketika ini, bayi tersebut sedang menerima rawatan yang optimum dan dipantau setiap hari oleh Pakar Pediatrik dan Pakar Ortopedik.

“Proses penyembuhan berjalan baik dan bayi dijangka sembuh dalam tempoh dua minggu,” tambah JKN lagi.

JKN Kedah kekal komited dalam memastikan keselamatan pesakit dan akan terus berusaha untuk memperkukuhkan aspek tersebut khususnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.