
TUARAN, 16 Mei – Seorang bekas renjer hutan ditahan selepas dipercayai memiliki pelbagai bahagian hidupan liar dilindungi bernilai lebih RM550,000 dalam satu serbuan di Kampung Wokok Batangan, Tuaran, Sabah semalam.
- Serbuan sekitar 7.15 pagi oleh WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman dan Jabatan Hidupan Liar Sabah.
- Rampasan termasuk 55 pasang tanduk rusa, tiga batang sumbu badak, 330 keping sisik tenggiling, tulang dan gigi gajah, tengkorak beruang serta kulit ular sawa.
- Suspek dipercayai memperoleh bahagian haiwan daripada penduduk kawasan pedalaman Sabah untuk koleksi peribadi.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997; jika sabit boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau penjara maksimum lima tahun.
Serbuan kira-kira pukul 7.15 pagi itu dijalankan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan dan Siasatan Khas (WCB/PSK), JKDNKA Bukit Aman bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah.
Komander WCB/PSK JKDNKA, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, pemeriksaan di rumah suspek menemukan pelbagai bahagian haiwan dipercayai spesies dilindungi.
“Antara yang dirampas termasuk 55 pasang tanduk rusa, tiga batang sumbu badak, 330 keping sisik tenggiling, tulang dan gigi gajah, tengkorak beruang serta kulit ular sawa,” katanya.
Menurut beliau lagi, siasatan awal mendapati suspek dipercayai memperoleh bahagian haiwan tersebut daripada penduduk di kawasan pedalaman Sabah sebelum dijadikan koleksi peribadi.
Lebih mengejutkan, kegiatan itu dipercayai dilakukan sejak suspek mula berkhidmat sebagai renjer hutan pada tahun 1986 sebelum bersara pada 2019, iaitu selama kira-kira 33 tahun.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 Sabah kerana memiliki hidupan liar dilindungi tanpa permit sah.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau penjara maksimum lima tahun.
Semua rampasan dan suspek telah diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan lanjut.