
ULASAN BERITA
- Rukun Negara adalah falsafah kebangsaan penyatu rakyat berbilang kaum, asas keharmonian, kestabilan dan pembangunan negara.
- Penghayatan semakin luntur terutama di media sosial, menyuburkan bahasa biadab, fitnah dan ancaman kepada perpaduan nasional.
- Rukun Negara bukan sekadar lafaz; ia kontrak sosial yang mesti diamalkan demi keharmonian, tanggungjawab sivik dan masa depan progresif.
Tahun ini menandakan ulang tahun ke-56 pengisytiharan Rukun Negara. Sebuah falsafah kebangsaan yang telah sekian lama menjadi panduan dan pengikat perpaduan rakyat Malaysia.
Rukun Negara dirangka pasca peristiwa hitam 13 Mei 1969, ketika negara diuji dengan krisis perpaduan paling getir dalam sejarah.
Lima prinsip yang terkandung di dalamnya bukan sahaja meredakan ketegangan ketika itu. Tetapi membina asas baharu untuk Malaysia mengorak langkah ke depan.
Sejak itu, ia kekal sebagai dokumen penting yang menyatukan rakyat berbilang bangsa.
Malah setiap generasi dibesarkan dengan prinsip ini menjadikannya sebahagian daripada identiti kebangsaan.
Namun, 56 tahun selepas diisytiharkan, penghayatan Rukun Negara kini dilihat semakin luntur dan mencabar.
Paling ketara apabila prinsip ini terhakis dalam kalangan warga maya di media sosial.
Bahasa kurang sopan, tidak beradab dan saling mencela mendominasi komen mahu pun status.
Lebih mendukacitakan, ruang dan kebebasan maya itu disalah guna dengan menyebarkan fitnah, tohmah dan berita palsu.
Sekali gus mencetuskan perbalahan, kebencian dan kegusaran awam sehingga menjejaskan kestabilan negara.
Maka, wajarlah titah Yang di-Pertuan Agong. Mana-mana individu yang tidak mahu mengikut prinsip Rukun Negara, tidak layak digelar warga Malaysia.
Titah itu lebih bersifat seruan moral dan kenegaraan untuk memperkukuh jati diri rakyat. Paling penting, memastikan keharmonian terus terpelihara.
Sultan Ibrahim bertitah semua pihak perlu mengambil iktibar daripada sejarah hitam negara, 13 Mei 1969.
Ia tercetus apabila ada pihak bertindak keterlaluan, menghina orang lain dan hilang rasa hormat kepada bangsa dan ketuanan negara ini.
Peristiwa berkenaan telah meruntuhkan perpaduan rakyat dan menghancurkan kestabilan Malaysia.
Nasihat Tuanku, jangan sampai pisang berbuah dua kali. Ambil iktibar, jangan ulangi kesilapan sama.
Ya, memang perit jika mengenang luka lama. Tapi lebih perit jika kita mengabaikan prinsip Rukun Negara.
Kenapa? Kerana kita gagal membentuk jati diri yang menjadi asas pembentukan negara bangsa.
Tidak keterlaluan jika titah itu ditujukan buat golongan kaduk naik junjung atau mereka yang lupa daratan mahupun melampaui batas.
Memang patut tindakan tegas diambil termasuk dilucutkan kerakyatan mereka.
Titah itu sangat relevan sebagai peringatan supaya rakyat kembali menghayati nilai kenegaraan di tengah-tengah pelbagai cabaran perpaduan.
Sekarang, apa penyelesaiannya? Solusinya tidak mudah seperti disangka. Namun akan dipermudah jika semua pihak sedar dan saling berpesan-pesan.
Hayatilah Rukun Negara. Sebagai roh pentadbiran dan panduan hidup kita semua.
Prinsip ini bukan sekadar lafaz di mulut, tetapi falsafah bernilai tinggi untuk membentuk masyarakat demokratik, adil dan progresif.
Ia perlu terus dihayati dan diamalkan sebagai asas penting dalam pembinaan negara bangsa yang bersatu padu.
Rukun Negara boleh diibaratkan sebagai “kompas moral” yang membimbing rakyat ke arah kehidupan yang lebih harmoni dan bermakna.
Di Malaysia, perbezaan bukanlah penghalang, tetapi kekuatan yang menjadikan kita sebuah negara unik.
Kekuatan ini hanya dapat dipelihara jika semua mempunyai panduan sama dalam berfikir dan bertindak secara rasional.
Di sinilah Rukun Negara memainkan peranannya. Ia menjadi pemangkin atau tunjang kepada pembentukan karakter dan moral. Sahsiah dibentuk dek pegangan kepada agama.
Rukun Negara bukan sekadar lima prinsip yang dihafal di sekolah atau dibaca semasa majlis rasmi.
Sebaliknya, satu kontrak sosial untuk kita saling menghormati, mematuhi undang-undang dan menjunjung tinggi perlembagaan negara.
Tanpa penghayatan terhadap nilai-nilai ini, kita mudah terjebak dengan perpecahan atau konflik berpanjangan.
Rukun Negara boleh dianggap sebagai “penapis nilai” yang membantu rakyat membezakan antara kebebasan dengan tanggungjawab.
Apabila prinsip ini diamalkan, rakyat akan lebih berhati-hati dalam menyampaikan pandangan dan hormat perbezaan pendapat.
Kesimpulannya, Rukun Negara bukan sekadar warisan sejarah, sebaliknya pelan tindakan masa depan.
Ia jambatan menghubungkan perbezaan, perisai melindungi perpaduan dan cahaya yang menerangi arah perjalanan negara.
Hanya dengan penghayatan menyeluruh terhadap prinsip Rukun Negara, Malaysia akan terus berkembang sebagai sebuah negara makmur dan sejahtera.
Baju kebaya kain bercorak,
Cantik memikat si gadis desa,
Rukun Negara lima tertegak,
Penyatu rakyat berbilang bangsa.
Ulasan Berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Nik Mohd Hafizul Baharuddin.