
SEPANG, 21 April – Seorang pesara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang, di sini hari ini atas pertuduhan menghantar komunikasi jelik berkaitan institusi kehakiman menerusi aplikasi di Facebook, Disember tahun lalu.
- Didakwa menggunakan akaun Facebook 'Idris Mohamad' menghantar komunikasi jelik pada 22 Disember 2025 sekitar 10.05 pagi.
- Didakwa bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi; jika sabit boleh didenda hingga RM500,000, penjara dua tahun, dan denda tambahan RM5,000 sehari.
- Tertuduh merayu jaminan dikurangkan kerana isteri sakit dan dua tanggungan; mahkamah ikat jamin RM3,000, sebutan semula 22 Mei 2026.
Tertuduh, Idris Mohamad membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki berkenaan menggunakan akaun Facebook ‘Idris Mohamad’ dengan secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik melampau berkenaan pada 22 Disember 2025, kira-kira pukul 10.05 pagi.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.
Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Selain, denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Semasa prosiding, tertuduh yang tidak bekerja merayu agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan menanggung isterinya yang sedang sakit serta mempunyai dua tanggungan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 22 Mei 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.