Hizbullah lancar serangan dron terhadap tentera Zionis di utara Israel

 Foto AFP

BEIRUT, 15 Mei – Hizbullah pada Khamis telah melancarkan serangan terhadap tentera rejim Zionis di utara Israel ketika Lubnan dan Israel sedang mengadakan pusingan baharu rundingan langsung di Washington.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hizbullah menyasarkan sekumpulan anggota tentera Israel di kawasan Rosh HaNikra menggunakan dron.
  • Tentera Israel memaklumkan beberapa orang awam cedera selepas dron Hizbullah jatuh berhampiran sempadan Lubnan.
  • Pusat Perubatan Galilee mengesahkan mangsa yang cedera menerima rawatan di Rosh HaNikra.
  • Walaupun gencatan senjata secara teknikal berkuat kuasa sejak 17 April, kedua pihak masih melancarkan serangan.

Dalam satu kenyataan, Hizbullah berkata ia menyasarkan sekumpulan anggota tentera Israel di kawasan Rosh HaNikra berhampiran sempadan Lubnan menggunakan dron.

Sementara itu, tentera Israel sebelum ini memaklumkan beberapa orang awam cedera dan telah dipindahkan ke hospital selepas sebuah dron yang dilancarkan oleh Hizbullah jatuh di Israel berhampiran sempadan Lubnan.

Pusat Perubatan Galilee pula mengesahkan mangsa yang cedera menerima rawatan di kawasan Rosh HaNikra.

Serangan itu berlaku ketika Lubnan dan Israel, mengadakan rundingan baharu di Washington, iaitu pertemuan ketiga dalam tempoh sebulan.

Delegasi kedua-dua negara sebelum ini bertemu pada 23 April di White House, apabila Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan lanjutan gencatan senjata selama tiga minggu dalam konflik Israel-Hizbullah serta menyatakan keyakinan terhadap kemungkinan perjanjian baharu.

Namun, kedua-dua pihak masih saling melancarkan serangan walaupun gencatan senjata secara teknikal berkuat kuasa sejak 17 April, yang dijadualkan tamat pada Ahad jika tiada persetujuan dicapai.- AFP