- Ditahan oleh Unit Rondaan Lebuhraya JSPT PDRM selepas memandu laju dan mencurigakan, pemeriksaan menemui dadah.
- Kenderaan suspek disita; sindiket dipercayai aktif sejak tahun lepas, bekalan dibawa dari Lembah Klang untuk diedarkan di selatan.
- Saringan air kencing negatif, namun suspek ada empat rekod lampau; direman tujuh hari dan berdepan hukuman mati, penjara seumur hidup atau sekurang-kurangnya 15 sebatan.

ALOR GAJAH, 21 April – Seorang lelaki penganggur berusia 33 tahun ditahan bersama kira-kira 3.94 kilogram dadah jenis ekstasi yang dianggarkan bernilai RM591,607.50 dalam satu operasi di Lebuhraya Pedas–Ayer Keroh, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, suspek ditahan oleh anggota Unit Rondaan Lebuhraya dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika menjalankan rondaan cegah kemalangan.
Suspek ditahan selepas didapati memandu dalam keadaan laju dan mencurigakan sebelum pemeriksaan lanjut menemukan dadah berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, hari ini.
Pihak polis turut menyita kenderaan yang digunakan suspek, dianggarkan bernilai RM20,000.
Siasatan awal mendapati sindiket terbabit dipercayai aktif sejak tahun lalu dan bekalan dadah tersebut dibawa dari Lembah Klang untuk diedarkan di kawasan selatan tanah air.
“Ini merupakan kali pertama suspek membawa bekalan ke bahagian selatan. Hasil soal siasat mendapati dadah berkenaan dibawa dari Lembah Klang untuk pasaran tempatan,” katanya.
Tambah beliau, jumlah rampasan itu dipercayai boleh digunakan oleh seramai 12,147 penagih.
Hasil saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah. Namun, lelaki itu mempunyai empat rekod lampau berkaitan kesalahan dadah di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6(3) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
Suspek kini direman selama tujuh hari bermula 16 April hingga 22 April bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika sabit kesalahan, suspek berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, boleh dikenakan sekurang-kurangnya 15 sebatan.