
JOHOR BAHRU, 22 Januari – Seorang pembantu rumah warga Indonesia, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru, atas pertuduhan mendedahkan kanak-kanak perempuan, berusia lebih setahun, kepada kecederaan fizikal, Disember tahun lalu.
- Didakwa menarik rambut sehingga kepala terangkat dan menarik tangan secara kasar menyebabkan lebam pada mangsa.
- Kes dibawa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
- Mahkamah tidak benarkan ikat jamin; ditahan di Pusat Tahanan Simpang Renggam sehingga surat perjalanan sementara dikeluarkan.
Tertuduh, Yulia Arnida, 34 tahun, membuat pengakuan itu, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Zainol.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan dan jagaan sementara terhadap kanak-kanak tersebut, telah mendedahkannya kepada kecederaan fizikal, dengan cara menarik rambut mangsa sehingga kepalanya terangkat serta menarik tangan dengan kasar sehingga menyebabkan kesan lebam.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah, di Jalan Ledang, Taman Johor, Johor Bahru, pada waktu petang, 21 Disember tahun lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) Akta sama.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Manushri Suthakar, manakala tertuduh diwakili peguam, Jason Tan Ka Yan.
Bagaimanapun, hakim tidak membenarkan tertuduh diikat jamin, setelah peguam memaklumkan anak guamnya tidak dapat mematuhi salah satu syarat dikenakan kerana pasport milik tertuduh di tangan pihak ketiga.
Mahkamah turut memerintahkan wanita warga Indonesia itu, ditahan di Pusat Tahanan Simpang Renggam, Kluang, sehingga pihak peguam mendapatkan surat perjalanan sementara buat tertuduh daripada Konsulat Republik Indonesia, Johor Bahru.
Kes disebut semula, 29 Jun untuk serahan dokumen.