Dua pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah cederakan pembantu rumah

Foto hiasan

JOHOR BAHRU, 23 Jun – Dua pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita warga Indonesia, Disember tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Muhamad Firdaus Sha’aban (33), Nurafiqah Nabila Hazhar (33), Muhamad Hirzihaziq Abulae’s (30), Nurfarah Ainna Hazhar (34)
  • Didakwa mendatangkan kecederaan terhadap Yulia Arnida di Tampoi
  • Firdaus dan Nurafiqah turut didakwa mencederakan pembantu rumah Yatina Yusnita dan Siti Hajar di Taman Daya, 11 Jun
  • Hirzihaziq dan Nurfarah didakwa menakutkan mangsa mengikut Seksyen 506; Firdaus didakwa miliki pasport mangsa tanpa kuasa

Tertuduh, Muhamad Firdaus Sha’aban, 33 tahun, dan isterinya, Nurafiqah Nabila Hazhar, 33 tahun, serta Muhamad Hirzihaziq Abulae’s, 30 tahun, dan isterinya, Nurfarah Ainna Hazhar, 34 tahun, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab.

Kesemua tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Yulia Arnida, 34 tahun, di Tampoi, Johor Bahru, 22 Disember tahun lalu.

Muhamad Firdaus dan Nurafiqah Nabila turut mengaku tidak bersalah atas dua lagi pertuduhan menyebabkan kecederaan dua pembantu rumah mereka, Yatina Yusnita dan Siti Hajar, di Taman Daya pada 11 Jun tahun ini.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Sementara itu, Muhamad Hirzihaziq dan Nurfarah Ainna turut mengaku tidak bersalah atas beberapa pertuduhan menakutkan secara jenayah terhadap Yatina dan Siti Hajar dengan ugutan hendak mencederakan mangsa.

Pendakwaan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Muhamad Firdaus turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memiliki pasport Indonesia milik Siti Hajar dan Yatina tanpa kuasa sah mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.

Sebutan semula kes pada 2 Julai dan 23 Julai depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.