
IPOH, 22 Jun – Polis Perak berjaya menumpaskan sindiket gores dan menang hasil penahanan lima individu dalam dua operasi berasingan di Melaka dan Selangor.
- Modus operandi: mangsa dibawa ke kenderaan, diminta pusing roda cabutan, dijanjikan jongkong emas, lalu menyerahkan barang kemas, PIN dan kad ATM.
- Kes pertama: wanita 62 tahun diperdaya di pasar raya, kerugian dianggarkan sekitar RM18,600.
- Kes kedua: wanita 62 tahun di Taiping juga diperdaya sama, kerugian dianggarkan kira-kira RM59,000.
- Polis menahan suspek, merampas telefon, kad SIM, tablet dan 16 baucar cabutan bernilai kira-kira RM10,000; disiasat bawah Seksyen 420.
Penahanan dilakukan hasil laporan diterima berkaitan penipuan gores dan menang pada 4 Oktober 2025 di Ipoh dan 17 Jun lalu di Taiping.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin, kes pertama melibatkan seorang wanita berusia 62 tahun yang telah didatangi tiga suspek ketika berada di sebuah pasar raya di Ipoh pada 3 Oktober tahun lepas.
Suspek telah membawa mangsa masuk ke dalam kenderaan yang dinaiki mereka sebelum mangsa diminta memusing roda cabutan bertuah dan dikatakan telah memenangi jongkong emas seberat 150 gram.
“Untuk mendapatkan jongkong emas itu, mangsa diminta menyerahkan subang, rantai leher dan cincin emas yang dipakai kononnya untuk tujuan ditimbang.
“Mangsa juga diminta menyerahkan nombor pin serta kad ATM dengan alasan akan menerima hadiah wang tunai. Tanpa menyedari ia adalah satu penipuan, mangsa telah menyerahkan barang kemas, nombor pin dan kad ATM miliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di bangunan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.
Suspek kemudian berjanji akan meghubungi mangsa untuk menyerahkan jongkong emas namun suspek tidak kembali dan gagal dihubungi.
Bagi kes tersebut, jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan bernilai kira-kira RM18,600.
Sementara itu, kes kedua pula melibatkan seorang lagi wanita berusia 62 tahun di Taiping yang juga diperdaya dengan modus operandi sama pada 14 Jun lalu.
Mangsa turut dimaklumkan telah memenangi jongkong emas sebelum diminta menyerahkan barang kemas seperti rantai leher dan anting-anting. Jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM59,000.
Bertindak atas maklumat, pada 19 Jun lalu, pihak polis telah menahan empat suspek di sebuah pangsapuri di Melaka manakala seorang lagi suspek ditahan di sebuah rumah di Telok Panglima Garang, Selangor.
Turut dirampas beberapa unit telefon bimbit, kad SIM beberapa syarikat telekomunikasi, sebuah tablet dan 16 keping baucar cabutan bertuah dengan nilai keseluruhan RM10,000.
Kesemua suspek berusia antara 22 hingga 40 tahun ditahan bagi membantu siasatan bawah Seksyen 420 kanun keseksaan.