Tiga ditahan bekal telefon, kad SIM kepada sindiket penipuan

Foto hiasan

IPOH, 22 Jun – Tiga individu termasuk dua warga China ditahan selepas disyaki terlibat sindiket membekal telefon bimbit dan sim kad kepada sindiket penipuan dalam talian di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi JSJK IPK Perak dijalankan di sebuah kondominium Bandar Baru Medan, Ipoh pada 19 Jun.
  • Rampasan termasuk 1,335 kad SIM, 554 kad mikrocip putih dan 409 telefon bimbit, bernilai kira-kira RM310,400.
  • Kegiatan berkaitan telefon dan kad SIM didapati aktif sejak awal 2026, caj RM300 hingga RM500 setiap unit; kes disiasat bawah Seksyen 420 dan 120(b).

Penahanan dilakukan hasil operasi dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak ke atas sebuah kondominium di Bandar Baru Medan, Ipoh pada 19 Jun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kesemua tangkapan berusia lingkungan 27 hingga 58 tahun.

Pelbagai barang berkaitan kes turut dirampas termasuk 1,335 keping kad SIM pelbagai syarikat telekomunikasi, 554 keping kad berwarna putih mengandungi mikrocip dan 409 unit telefon bimbit.

“Kesemua rampasan ini dianggarkan bernilai kira-kira RM310,400. Berdasarkan siasatan awal, sindiket ini didapati menjalankan kegiatan membekalkan telefon bimbit dan kad SIM kepada sindiket penipuan dalam talian sejak awal tahun 2026.

“Sindiket berkenaan mengenakan bayaran antara RM300 hingga RM500 bagi setiap unit telefon bimbit yang dibekalkan bersama kad SIM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di bangunan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.

Kesemua tangkapan direman selama satu hari bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) manakala tangkapan warga asing direman selama 14 hari bawah Akta Imigresen bagi tujuan soal siasat.

Kes disiasat bawah Seksyen 420 kanun keseksaan dan Seksyen 120 (b) kanun keseksaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.