SPRM siasat pemindahan gajah DAK ke Jepun, tiris RM53 juta

Foto RTM

PUTRAJAYA, 22 Jun – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa satu kertas siasatan telah dibuka berhubung isu pemindahan tiga ekor gajah Asia dari Zoo Taiping ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun.

RINGKASAN BERITA AI
  • SPRM menumpukan siasatan kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, PERHILITAN serta ejen yang terlibat dalam urusan pemindahan Dara, Amoi dan Kelat (DAK).
  • Siasatan meneliti dakwaan ketirisan bayaran serta unsur rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa; pertuduhan melibatkan transaksi dianggarkan RM53 juta.
  • SPRM tekankan siasatan masih di peringkat awal, dijalankan secara menyeluruh, profesional, bebas dan telus; orang ramai diminta tidak membuat spekulasi.

Dalam satu kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan siasatan tersebut memberi tumpuan kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta ejen yang terlibat dalam urusan pemindahan tiga ekor gajah berkenaan yang dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat (DAK).

Menurut SPRM, siasatan turut menjurus kepada dakwaan berhubung ketirisan bayaran yang dikaitkan dengan urusan pemindahan haiwan tersebut serta meneliti sama ada wujud unsur rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa.

Perkembangan itu susulan gesaan yang dibuat oleh pertubuhan Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (Hidup) pada 18 Jun lalu supaya SPRM menjalankan siasatan terhadap proses pemindahan DAK ke Jepun.

Pertubuhan berkenaan sebelum ini mendakwa terdapat bayaran berkaitan urusan tersebut yang tidak disalurkan kepada kerajaan selain mengaitkan beberapa individu dengan transaksi yang dianggarkan bernilai RM53 juta.

“SPRM ingin menegaskan bahawa siasatan masih di peringkat awal dan sedang dijalankan secara menyeluruh,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan yang boleh menjejaskan proses siasatan yang sedang berlangsung.

SPRM turut menegaskan komitmennya untuk menjalankan siasatan secara profesional, bebas dan telus serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan rasuah atau salah guna kuasa sekiranya terdapat bukti yang mencukupi untuk tindakan lanjut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.