
KUALA LUMPUR, 17 Oktober – Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) memperjelas isu kutipan dan pengagihan royalti, ketelusan organisasi pengurusan kolektif (CMO) serta keperluan pembiayaan bagi memperkukuh pembangunan industri muzik tempatan.
- Pembayaran royalti bergantung kepada hak, kontrak, penggunaan sebenar dan pendaftaran pemegang hak; aduan kelewatan perlu disiasat mengikut kes.
- Ahli CMO menerima laporan kutipan dan pengagihan; KARYAWAN digalakkan bantu artis daftar untuk memastikan wakil dan pengagihan adil.
- Sokongan pembiayaan jelas dicadangkan termasuk Dana Eksport Muzik, dengan mekanisme akauntabiliti dan syarat lesen AI untuk melindungi pemegang hak.
Pengerusi RIM, Rosmin Hashim berkata, perbincangan mengenai kebajikan artis dan perlindungan hak mereka perlu berlandaskan fakta tepat, selain mengambil kira tanggungjawab setiap organisasi dalam industri muzik.
Menurutnya dalam kenyataan, pembayaran royalti kepada pencipta bergantung pada beberapa faktor, termasuk hak yang diamanahkan kepada CMO, kadar berdasarkan kontrak, penggunaan sebenar muzik serta pendaftaran pemegang hak dengan organisasi berkaitan.
“Pencipta karya dan rakaman yang mencatat jumlah penstriman serta penggunaan muzik lebih tinggi berpotensi menerima bahagian royalti lebih besar berbanding mereka yang kurang mendapat penggunaan.
“Sehubungan itu, RIM berpandangan aduan mengenai kelewatan atau ketidakjelasan pembayaran royalti perlu disiasat berdasarkan kes tertentu dengan merujuk kepada pihak bertanggungjawab, sama ada syarikat rakaman, penerbit muzik atau CMO,” katanya.
RIM turut menjelaskan bahawa laporan kutipan dan pengagihan royalti disediakan kepada ahli CMO setiap kali pembayaran dibuat, termasuk perincian sumber serta pendapatan royalti. Ahli juga boleh mendapatkan penjelasan daripada pegawai organisasi masing-masing berhubung penyata yang diterima.
Dalam pada itu, RIM menggalakkan Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) bekerjasama dengan organisasi berkaitan bagi membantu artis dan pemegang hak mendaftar sebagai ahli CMO yang bersesuaian supaya hak mereka dapat diwakili dan royalti diagihkan mengikut peraturan ditetapkan.
Mengulas tindakan undang-undang terhadap Garis Panduan Hak Cipta (Organisasi Pengurusan Kolektif) 2025 yang dikeluarkan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), RIM menegaskan prosiding semakan kehakiman yang sedang berjalan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai bukti bahawa sesebuah organisasi menentang ketelusan.
RIM menyerahkan perkara itu kepada mahkamah untuk menentukan isu undang-undang yang dibangkitkan, sambil menekankan kepentingan sistem pengurusan kolektif yang adil dan berkesan.
“Mengenai pembangunan industri, RIM bersetuju bahawa muzik tempatan perlu mendapat pendedahan lebih meluas melalui radio, televisyen, platform digital dan premis komersial bagi membantu artis mencapai khalayak lebih besar serta membina kerjaya yang mampan.
“Bagaimanapun, usaha memperkukuh pasaran domestik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada promosi antarabangsa kerana kedua-duanya saling melengkapi dalam pembangunan industri muzik untuk jangka panjang,” katanya.
Justeru, RIM mencadangkan penubuhan Dana Eksport Muzik Malaysia bagi menyokong penyertaan artis dalam pertunjukan muzik antarabangsa, promosi luar negara, pemasaran digital dan kerjasama strategik untuk menembusi pasaran baharu.
RIM turut menegaskan pembiayaan awam perlu mempunyai objektif jelas, mekanisme akauntabiliti yang sewajarnya serta hasil yang boleh diukur. Pada masa sama, pembiayaan pembangunan muzik mempunyai fungsi berbeza daripada kutipan dan pengagihan royalti, namun kedua-duanya penting bagi memastikan kelestarian industri.
Dalam perkembangan berkaitan, RIM menyokong keperluan pembangun kecerdasan buatan (AI) mendapatkan lesen sewajarnya sebelum menggunakan karya kreatif yang dilindungi hak cipta bagi tujuan pembangunan teknologi secara komersial.
Perlindungan terhadap pencipta muzik dan pemegang hak daripada penggunaan karya serta rakaman tanpa kebenaran perlu terus diperkukuh seiring perkembangan teknologi AI.