
KUALA LUMPUR, 18 Oktober – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan seni dan budaya amat dekat di hati rakyat.
- Datuk Seri Anwar mahu warisan seni dipelihara dan dihidupkan supaya generasi muda terus menikmatinya.
- Beliau mengucapkan tahniah kepada Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza atas persembahan istimewa penuh jiwa.
- Walaupun hujan, penonton tetap setia hingga penghujung; Anwar memuji kehebatan Siti dan semangat peminat.
- Beliau hadir menonton Konsert Tradisional Gema Bumantara di TM Stadium Nasional Bukit Jalil, memukau 63,000 penonton.
Menerusi perkongsian di Facebook, Datuk Seri Anwar mahu warisan itu terus dipelihara dan dihidupkan supaya kekal dinikmati serta dicintai generasi muda.
“Negara terus kita pacu maju, akar budaya dan jati diri bangsa tetap kita pelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengucapkan tahniah kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, atas persembahan istimewa dan penuh jiwa dalam Konsert Tradisional Gema Bumantara, malam tadi.
“Tahniah kepada Datuk Seri Siti dan seluruh pasukan produksi atas persembahan yang cukup istimewa dan penuh jiwa.
“Walaupun hujan turun, semua yang hadir tetap setia hingga ke penghujung persembahan, hebat Datuk Seri Siti, hebat juga semangat peminatnya,” katanya lagi.
Malam tadi, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir menyaksikan konsert berkenaan di TM Stadium Nasional Bukit Jalil, yang berjaya memukau 63,000 penonton meskipun dalam suasana hujan.