
SEREMBAN, 17 Oktober – Polis menerima lima laporan berhubung penyebaran gambar pelajar perempuan berusia antara 14 hingga 17 tahun di sebuah sekolah menengah di sini yang dimanipulasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) sehingga menyerupai gambar lucah.
- Pelajar terlibat digantung persekolahan dari 24 hingga 28 Ogos sebagai tindakan disiplin pihak sekolah.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
- Lima saksi dipanggil dan kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, laporan diterima daripada ibu bapa dan penjaga mangsa antara 20 hingga 23 Ogos lalu.
“Suspek yang merupakan pelajar tingkatan lima telah dikenakan tindakan disiplin oleh pihak sekolah, iaitu penggantungan persekolahan dari 24 hingga 28 Ogos lalu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan,” menurut kenyataannya hari ini.
Setakat ini, lima saksi telah dipanggil untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan.
Datuk Alzafny berkata, kertas siasatan akan dilengkapkan dalam masa terdekat sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan selanjutnya.
Beliau turut menegaskan bahawa polis akan menjalankan siasatan secara telus bagi memastikan tindakan undang-undang sewajarnya diambil terhadap individu yang terlibat, demi menegakkan keadilan kepada semua mangsa.