
RAUB, 22 Jun – Mahkamah Sesyen Raub menjatuhkan hukuman denda RM80,000 terhadap seorang wanita, selepas didapati bersalah menceroboh tanah kerajaan negeri Pahang di Sungai Pertang, Mukim Gali, Raub, dua tahun lalu, mengusahakan kebun durian.
- Kes disiasat susulan pelaksanaan Op Sekat Musang King oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang.
- Tertuduh didapati menduduki tanah Kerajaan Negeri di Sungai Pertang, Mukim Gali, Raub pada 9 Ogos 2024 tanpa kebenaran.
- Ketika serbuan, anggota UPNP menemui rumah kebun dan kawasan tanaman durian dibangunkan di atas tanah kerajaan.
- Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara; hukuman sehingga RM500,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.
Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali turut memerintahkan tertuduh, Yong Lai Kien, 48 tahun dipenjarakan lapan bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Kes tersebut dibicarakan susulan pelaksanaan Op Sekat Musang King oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP).
Berdasarkan fakta kes, tertuduh didapati telah menduduki tanah Kerajaan Negeri Pahang tanpa kebenaran Pihak Berkuasa Negeri di Sungai Pertang, Mukim Gali, Raub pada 9 Ogos 2024.
Ketika serbuan, anggota UPNP menemui sebuah rumah kebun serta kawasan tanaman durian yang dibangunkan di atas tanah kerajaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Muhammad Muqris Alif Zairiasdi dan Nurul Ain Wozzari daripada UPNP, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Harris Mohan.
Pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman yang berat dan setimpal terhadap tertuduh memandangkan perbuatan pencerobohan tanah kerajaan bukan sahaja menyebabkan kerosakan kepada struktur tanah di kawasan terbabit, malah mengakibatkan ketirisan hasil kerajaan negeri.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.