
KULIM, 15 April – Seorang pegawai Imigresen Kedah cedera di bahagian tangan selepas terjatuh dari bumbung ketika melaksanakan Operasi Penguatkuasaan Op Sapu di sebuah tapak pembinaan di Padang Meha, Kulim, pada Selasa.
- Operasi dijalankan hasil maklumat orang awam, melibatkan 25 pegawai.
- 155 individu diperiksa; 119 lelaki warga asing ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan Imigresen 1963.
- Jabatan memandang serius keselamatan pegawai, akan tambah baik SOP dan kekal komited membanteras pendatang asing tanpa izin.
Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah dalam kenyataan memaklumkan kejadian berlaku semasa pasukan operasi menjalankan pemeriksaan dan serbuan ke atas premis berkenaan.
Dalam situasi tersebut, terdapat cubaan melarikan diri oleh beberapa individu yang diperiksa dengan bersembunyi di kawasan berbahaya seperti bumbung bangunan dan mesin di sekitar premis, menyebabkan berlaku keadaan kelam-kabut di lokasi.
Ketika operasi dijalankan, pegawai yang terlibat turut melaksanakan pencarian dan penggeledahan di kawasan bumbung bagi mengesan saki-baki individu yang dipercayai bersembunyi.
Semasa usaha mengawal keadaan serta memastikan keselamatan pasukan, pegawai berkenaan telah terjatuh lalu mengalami kecederaan di bahagian tangan.
Pegawai tersebut telah diberikan rawatan awal dan disahkan berada dalam keadaan stabil sebelum dirujuk ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut.
Operasi yang dijalankan hasil maklumat orang awam itu melibatkan seramai 25 pegawai.
Sseramai 155 individu diperiksa.
Daripada jumlah itu, 119 lelaki terdiri daripada warga China, India, Bangladesh dan Pakistan berjaya ditahan atas kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Jabatan Imigresen Malaysia memandang serius aspek keselamatan pegawai semasa menjalankan tugas dan akan terus menambah baik prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak kejadian seumpama tidak berulang.
Pada masa sama, jabatan kekal komited dalam mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin.