Lelaki ditahan bersama ganja lebih 210 kg, nilai rampasan lebih RM709,000

Foto Facebook Briged Tenggara PGA

PASIR MAS, 14 April – Seorang lelaki ditahan bersama lebih 210 kilogram (kg) ganja dalam satu serbuan oleh Pasukan Strike Force Kompeni C, Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu, di Pasir Mas, Kelantan, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serbuan Op Taring Wawasan Kelantan di Kampung Kubang Puyu, Meranti kira-kira pukul 8.30 malam.
  • Seorang lelaki tempatan 35 tahun dikesan mencurigakan; pemeriksaan kenderaan menemui kotak berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja.
  • Suspek melarikan diri sejauh kira-kira 10 kilometer sebelum diberkas; ujian saringan air kencing awal negatif.
  • Disyaki menerima arahan daripada warga Thailand dengan upah kira-kira RM3,500 setiap penghantaran; kes disiasat di bawah Seksyen 39B.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM709,450.00.

Serbuan dilakukan kira-kira pukul 8.30 malam di Kampung Kubang Puyu, Meranti menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.

Berdasarkan maklumat yang dikongsikan menerusi Facebook Briged Tenggara PGA, suspek lelaki tempatan yang berusia 35 tahun dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika rondaan motosikal dijalankan di kawasan operasi.

Hasil pemeriksaan ke atas kereta suspek, pihak polis menemui beberapa kotak berisi ketulan mampat daun kering yang disyaki dadah jenis ganja.

“Suspek bertindak melarikan diri sejauh kira-kira 10 kilometer sebelum berjaya diberkas selepas cuba meloloskan diri dari kenderaan.Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menerima arahan penghantaran daripada seorang lelaki warganegara Thailand dengan upah kira-kira RM3,500 bagi setiap penghantaran. Suspek juga dipercayai mengambil bekalan dari pengkalan haram sebelum dihantar ke lokasi yang ditetapkan.

“Dalam operasi tersebut, pihak polis berjaya merampas sebuah kenderaan serta dadah jenis ganja dianggarkan seberat lebih 210 kilogram”, menurut maklumat tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah IPD Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

Polis juga menegaskan untuk terus memberi komitmen dalam membanteras aktiviti pengedaran dadah serta menyeru orang ramai membantu dalam menyalurkan maklumat bagi usaha penguatkuasaan.