
KOTA BHARU, 22 September — Seorang lelaki mendakwa menerima ‘arahan Tuhan’ kira-kira sebulan sebelum kejadian pembunuhan seorang remaja lelaki pelarian Myanmar di Taman Desa Kujid, Kampung Pok Boh pada Jumaat lalu.
- Suspek utama berusia 31 tahun dipercayai pelarian Myanmar.
- Suspek ditahan di rumah sewanya di Pasir Mas dan kini direman polis.
- Lelaki itu dilaporkan mengalami halusinasi dan bekerja di lokasi sama dengan mangsa.
- Polis menyiasat kemungkinan kad UNHCR palsu; empat individu turut ditahan untuk membantu siasatan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata perkara itu berdasarkan keterangan yang direkodkan daripada suspek utama yang berusia 31 tahun yang dipercayai pelarian Myanmar.
Suspek utama ditahan di rumah sewanya di Pasir Mas, semalam dan kini direman pihak polis.
“Katanya arahan Tuhan, kita ambil dia semalam. Dia kata arahan Tuhan, macam tak betul. Betul atau tidak, doktor pakar akan mengesahkan
“Lelaki berkenaan mengalami halusinasi, selain bekerja di lokasi sama dengan mangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.
Mohd Yusoff berkata, polis turut akan menyiasat secara terperinci kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa- Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) milik suspek kerana terdapat kemungkinan dokumen berkenaan adalah palsu.
Media sebelum ini melaporkan polis menahan empat individu bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki pelarian Myanmar berusia 18 tahun yang ditemukan tidak sedarkan diri di Taman Desa Kujid, Kampung Pok Boh, di sini, awal pagi Jumaat lalu.
Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kecederaan luka hiris dan tetak pada bahagian leher.