
KOTA BHARU, 22 September – Jenayah komersial di Kelantan mencatatkan kerugian RM33.47 juta sejak Januari sehingga Ogos lepas, meningkat berbanding tempoh sama tahun sebelumnya yang mencatatkan RM27.5 juta.
- Kes jenayah komersial meningkat ketara, direkodkan 1,921 kes berbanding 1,100 tahun sebelumnya.
- Penipuan e-Dagang melonjak daripada 260 kepada 657 kes; jenayah siber lain juga meningkat kepada 444 kes.
- PDRM akan meneruskan kempen kesedaran awam dan mempercepat langkah pencegahan menghadapi ancaman jenayah digital.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mendedahkan 1,921 kes dicatatkan sepanjang tempoh berkenaan berbanding 1,100 kes pada tahun sebelumnya.
“Antara yang paling ketara ialah penipuan e-Dagang iaitu meningkat daripada 260 kepada 657 kes, manakala lain-lain jenayah siber turut meningkat daripada 287 kepada 444 kes.
“Sehubungan itu, kempen-kempen berkaitan jenayah komersial akan diteruskan dan kita perlu lebih pantas terutamanya dalam memberi kesedaran awam serta langkah pencegahan memandangkan jenayah semakin berubah mengikut perkembangan teknologi,”katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
Dalam masa sama, beliau mengakui jenayah komersial memberi cabaran yang paling ketara khususnya dalam ruang digital.