
KULIM, 21 April- Siasatan berhubung insiden seorang suspek dipijak anggota polis selepas ditahan di Jalan Sungai Ular di sini tertumpu kepada aspek pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) tangkapan.
- Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) diarahkan menyiasat anggota terlibat.
- Anggota terbabit ditukarkan ke bahagian pentadbiran sementara menunggu siasatan.
- Seorang lelaki 32 tahun direman tiga hari oleh Mahkamah Kulim untuk membantu siasatan.
- Pemeriksaan motosikal menemui dua bungkusan disyaki air ketum; ujian air kencing suspek positif syabu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, DSP Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata pihaknya turut mengarahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia menjalankan siasatan terhadap anggota terlibat.
“Anggota terbabit juga telah ditukarkan ke bahagian pentadbiran sementara menunggu siasatan oleh pihak JIPS,” katanya kepada RTM hari ini.
Sementara itu, seorang lelaki berusia 32 tahun yang terjatuh dari motosikal selepas ditarik anggota polis ketika cuba melarikan diri telah ditahan reman selama tiga hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.
Perintah reman dikeluarkan Mahkamah Kulim hari ini.
Semalam, polis mengesan satu rakaman video tular berdurasi 29 saat yang memaparkan kejadian berkenaan dipercayai berlaku di hadapan sebuah kedai aksesori motosikal di Jalan Tunku Putra.
Dalam rakaman itu, suspek dilihat ditarik daripada motosikal sehingga terjatuh sebelum kepalanya dipijak oleh anggota terbabit.

Siasatan awal mendapati anggota polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah bertindak menahan suspek di Jalan Sungai Ular sebelum berlaku pergelutan apabila lelaki itu melawan dengan menendang motosikal milik anggota.
Suspek kemudian melarikan diri dengan menunggang motosikal secara melulu, melawan arus dan membahayakan pengguna jalan raya lain sebelum berjaya ditahan di lokasi kejadian.
Hasil pemeriksaan terhadap motosikal yang ditunggang suspek menemukan dua bungkusan plastik lut sinar disyaki mengandungi air rebusan daun ketum.
Ujian saringan awal air kencing suspek turut didapati positif dadah jenis syabu.