
BALING, 21 April – Dua premis yang dipercayai menjalankan aktiviti memotong dan memproses kayu getah tanpa lesen sah di Kampung Sirako, Pulai, Baling, Kedah, diambil tindakan dalam satu operasi bersepadu semalam, dengan nilai keseluruhan rampasan melebihi RM1.38 juta.
- Operasi bersepadu PDRM melalui PSP Bukit Aman Zon Utara bersama JAS Kedah, Majlis Daerah Baling dan Jabatan Perhutanan.
- Premis pertama beroperasi tanpa lesen, pemilik dikompaun; jentera, kenderaan dan longgokan kayu dirampas, nilai dianggarkan sekitar RM728,000.
- Premis kedua tiada dokumen; penyelia berusia 39 tahun ditahan, barang diserahkan kepada JAS Kedah dan kes disiasat di bawah peraturan alam sekitar.
Operasi itu dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Cawangan Risik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman Zon Utara dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Majlis Daerah Baling serta Jabatan Perhutanan Daerah Baling.
Menerusi kenyataan di Facebook, PSP memaklumkan serbuan di premis pertama pada kira-kira pukul 10.15 pagi mendapati pemilik gagal mengemukakan lesen sah yang dikeluarkan oleh Majlis Daerah Baling bagi menjalankan aktiviti perniagaan berkenaan.
“Seorang lelaki tempatan yang merupakan penyelia premis telah diperiksa dan ditahan untuk bantu siasatan, manakala pemilik premis dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa tempatan atas kesalahan menjalankan operasi tanpa lesen sah di bawah Undang-Undang Kecil Perlesenan Perdagangan dan Perusahaan (PBT) Negeri Kedah 1985.
“Dalam serbuan tersebut, pelbagai jentera dan bahan berkaitan termasuk mesin pemotong kayu, jentera berat, kenderaan, longgokan kayu getah serta hasil sampingan dirampas dengan nilai dianggarkan sekitar RM728,000,” menurut kenyataan PSP.
Sementara itu, operasi di premis kedua pada kira-kira pukul 11.00 pagi mendapati premis berkenaan turut menjalankan aktiviti memproses kayu getah tanpa sebarang dokumen sah.
“Seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun yang bertindak sebagai penyelia premis kedua telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Turut dirampas dalam serbuan itu ialah pelbagai mesin, kenderaan serta hasil kayu yang ditemui di lokasi, dengan nilai keseluruhan dianggarkan sebanyak RM654,080.”
Kesemua barang kes telah diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah untuk tindakan lanjut, manakala Majlis Daerah Baling turut mengeluarkan kompaun terhadap premis berkenaan atas kesalahan mengendalikan kilang tanpa lesen sah di bawah peruntukan undang-undang kecil yang sama.
Secara keseluruhan, nilai rampasan bagi kedua-dua premis dianggarkan melebihi RM1.38 juta.
Kes disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 serta kesalahan berkaitan lain.
Menurut PSP, operasi bersepadu itu dilaksanakan selaras dengan pendekatan Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) bagi memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan antara agensi.
PDRM menegaskan akan terus komited melaksanakan operasi bersama agensi berkaitan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang, selain memastikan pematuhan peraturan oleh semua pihak.