Kedai emas di Sungai Petani disamun empat lelaki bersenjata

Keadaan sebuah kedai yang dirompak, dengan barangan dan peralatan berselerak selepas kejadian/Syot layar orang awam

SUNGAI PETANI, 17 September – Empat lelaki bertopeng yang dipercayai bersenjatakan tukul dan senjata tajam, menyamun sebuah kedai emas di Bakar Arang, di sini semalam

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek menaiki dua motosikal, pecahkan cermin pameran dan curi barang kemas; kerugian dianggarkan RM700,000 hingga RM1 juta
  • Dua pekerja tidak cedera; orang awam membantu mengutip barang kemas tercicir dan menyerahkannya kepada polis
  • Kedai pernah disamun pada 2024 dengan anggaran kerugian sekitar RM1 juta; kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata pihaknya menerima panggilan pada 7.20 malam daripada orang awam memaklumkan mengenai kejadian yang berlaku di kedai emas itu yang terletak di dalam bangunan pasar raya.

“Siasatan awal mendapati kumpulan lelaki terbabit menaiki dua motosikal, dengan dua daripada suspek masuk ke dalam kedai manakala dua lagi menunggu di luar premis.

“Mereka memecahkan cermin pameran dan mengambil barang-barang di dalamnya. Jumlah kerugian masih dalam siasatan tetapi anggaran awal bernilai antara RM700,000 hingga RM1 juta,” katanya kepada pemberita malam tadi.

Beliau berkata dua pekerja kedai emas yang berada di kedai itu ketika kejadian tidak mengalami sebarang kecederaan.

Hanyan berkata orang awam turut membantu mengutip beberapa barang kemas yang dipercayai tercicir atau ditinggalkan suspek dan telah menyerahkannya kepada polis.

“Terima kasih kepada masyarakat yang cuba membantu, ada yang cuba membuat tangkapan tetapi nasihat saya perlu berhati-hati selepas ini kalau ingin membantu dikhuatiri suspek mungkin mempunyai senjata yang lebih bahaya.

“Kita mengalu-alukan maklumat daripada saksi, termasuk ciri fizikal, bentuk badan, percakapan atau sebarang maklumat mencurigakan sebelum kejadian,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kedai emas itu pernah disamun pada 2024 dengan anggaran kerugian mencecah RM1 juta.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan,” katanya. – BERNAMA

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.