
KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Kenaikan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 pada Jumaat diharap dapat membantu rakyat mengurus kewangan dan menambah simpanan.
- Kenaikan had pelepasan cukai diharapkan bantu golongan muda dan keluarga merancang masa depan serta menambah simpanan.
- Kejayaan ekonomi perlu dinilai melalui kesejahteraan rakyat, bukan hanya angka pertumbuhan.
- Penjawat awam, termasuk warga pendidik, menyambut baik kerana memberi kelegaan hadapi peningkatan kos sara hidup.
- Bagi golongan B40, pelepasan cukai membantu mengurangkan perbelanjaan harian apabila tuntutan dibuat.
Bagi Noor Hafiz Mohd Nor, langkah itu khususnya diharap dapat membantu golongan muda dan keluarga merancang masa depan.
“Jadi, harapannya khususnya kepada golongan anak muda dan juga keluarga agar mereka ni dapat membina masa depan, dapat menambah simpanan, dapat membiayai pendidikan… tetapi akhirnya kejayaan ekonomi negara bukan diukur sekadar pada angka pertumbuhan semata-mata.
Sebaliknya, kejayaan ini sepatutnya dapat dinilai menerusi kesejahteraan rakyat. Jadi, harapannya belanjawan ini berjaya dan dapat dirasai oleh semua”, ujarnya ketika ditemui RTM.
Sementara itu, salah seorang penjawat awam Noramalina Manan turut menyambut baik pengumuman berkenaan yang disifatkan dapat membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup.
“Kami di sektor warga pendidik menyambut baiklah pengumuman semalam di mana ia memberikan kelegaan kepada kami, dapat membantu mengurangkan kos sara hidup.”
Bagi Mohammad Shazie Zaini pula, kenaikan itu turut dilihat dapat membantu mengurangkan perbelanjaan harian menerusi tuntutan pelepasan cukai.
“Saya rasa itu adalah satu pengumuman yang agak positif, terutamanya bagi saya secara individu — saya berada dalam kumpulan B40. Jadi, contohnya untuk pelepasan cukai tu, dia membantu secara sedikit sebanyaklah walaupun tidak secara langsung.
Tapi bila kita buat tuntutan semula, ia dapat membantu kita daripada segi kos sara hidup dan juga perbelanjaan harian.”