Penyelia pembersihan didakwa empat tuduhan samun, cederakan seorang lelaki

Muhammad Haziq Mohd Rizal, 26 mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan/Foto RTM Johor

JOHOR BAHRU, 17 September – Seorang penyelia pembersihan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Johor Bahru atas empat pertuduhan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiga pertuduhan samun dan satu pertuduhan mendatangkan kecederaan antara 21 Ogos hingga 9 September.
  • Pertuduhan samun melibatkan kecurian kunci motosikal, mesin rumput, mesin pemotong dahan pokok di Taman Perling pada Ogos dan September.
  • Mahkamah Sesyen benarkan jaminan RM9,000 dan RM6,000 setiap satu dengan seorang penjamin serta syarat tambahan.
  • Mahkamah Majistret benarkan jaminan RM1,000; sebutan semula kes samun 28 Okt, kes kecederaan 8 Okt.

Pertuduhan itu membabitkan tiga kes samun dan satu kes mendatangkan kecederaan, antara 21 Ogos hingga 9 September lalu.

Muhammad Haziq Mohd Rizal, 26, membuat pengakuan itu secara berasingan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan hakim dan majistret berbeza.

Di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa merompak anak kunci motosikal di Taman Perling, di sini, pada 26 Ogos lalu.

Dia turut didakwa merompak sebuah mesin rumput, serangkai kunci motosikal serta kad pelarian UNHCR di lokasi sama pada 9 September lalu.

Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Hakim N Kanageswari membenarkan jaminan RM9,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan.

Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen, Muhammad Haziq turut didakwa merompak sebuah mesin pemotong dahan pokok di Taman Perling pada 21 Ogos lalu.

Pertuduhan itu juga dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan.

Sebutan semula bagi ketiga-tiga pertuduhan samun itu ditetapkan pada 28 Oktober ini.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Muhammad Haziq turut didakwa mendatangkan kecederaan terhadap Hamid Hossain Abdul Rahman di Taman Perling pada 9 September lalu.

Tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Shaarmini.

Mahkamah membenarkan jaminan RM1,000 dan menetapkan 8 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.