
SAUDARA PENGARANG
- Kerangka gaji RM2,500 menghargai pendidikan dan bakat muda serta menilai semula nilai upah permulaan dalam pasaran pekerjaan.
- Butiran pelaksanaan mesti diperjelas termasuk definisi graduan, pekerjaan layak dan hubungan kadar RM2,000 dengan RM2,500.
- Kerajaan perlu beri tempoh penyesuaian, sokongan meningkatkan produktiviti dan bantuan kepada perniagaan kecil.
- Universiti dan majikan mesti kerjasama tingkatkan latihan industri serta kemahiran agar graduan mampu jana nilai dan kenaikan gaji munasabah.
Segulung ijazah belum tentu menjamin pekerjaan yang setimpal. Pada suku kedua 2026, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan 35.2 peratus pekerja berpendidikan tinggi berada dalam pekerjaan separa mahir atau berkemahiran rendah.
Angka ini mengingatkan kita kepada satu persoalan yang sudah lama berlegar dalam kalangan keluarga di Malaysia. Selepas bertahun belajar dan menanggung kos pengajian, adakah pulangan yang diterima anak muda memang sepadan dengan kelayakan mereka?
Justeru, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam Belanjawan MADANI 2027 mengenai kerangka gaji minimum RM2,500 sebulan bagi graduan dan pekerjaan separa mahir wajar dilihat sebagai langkah penting.
Ia membawa mesej bahawa pendidikan, kemahiran dan tenaga anak muda perlu diberikan nilai yang lebih adil dalam pasaran pekerjaan. Pada masa sama, langkah ini membuka ruang untuk menilai semula bagaimana negara menentukan upah permulaan pekerja.
Dalam pembentangan belanjawan tersebut, kerajaan turut mengumumkan kenaikan gaji minimum umum daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027.
Bagaimanapun, kadar RM2,500 bagi graduan dan pekerjaan separa mahir diumumkan sebagai sebahagian daripada pembaharuan kerangka pendapatan pekerja.
Butiran pelaksanaan khususnya masih perlu diperjelas supaya majikan dan pencari kerja memahami siapa yang layak serta bagaimana kadar itu akan dilaksanakan.
Keperluan membetulkan struktur upah turut diakui dalam ucapan belanjawan apabila kerajaan menyatakan bahagian pampasan pekerja kepada keluaran dalam negara kasar masih pada kadar 33.9 peratus.
Ringkasnya, pertumbuhan ekonomi belum semestinya diterjemahkan kepada pendapatan yang mencukupi untuk mereka yang menyumbang tenaga.
Sebab itu, perbincangan mengenai gaji graduan tidak patut terhenti pada soal sama ada RM2,500 terlalu tinggi atau rendah, tetapi perlu menyentuh cara hasil pertumbuhan ekonomi dikongsi dengan pekerja.
Bagi graduan baharu, perbezaan beberapa ratus ringgit sebulan bukan perkara kecil. Wang itu mungkin menentukan sama ada mereka mampu menyewa bilik berhampiran tempat kerja, menampung tambang pengangkutan, membeli keperluan harian atau membantu ibu bapa di kampung.
Dalam keadaan harga makanan, perumahan dan perkhidmatan terus menekan perbelanjaan isi rumah, gaji pertama bukan sekadar angka dalam surat tawaran. Ia menjadi asas untuk memulakan kehidupan berdikari.
Gambaran tekanan tersebut dapat dilihat melalui Laporan Survei Gaji dan Upah 2025. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, gaji penengah pekerja berumur 25 hingga 29 tahun ialah RM2,285 sebulan.
Angka ini merangkumi pekerja pelbagai kelayakan, bukan hanya graduan, namun tetap memperlihatkan cabaran pendapatan yang dihadapi golongan muda.
Maka, sasaran RM2,500 mempunyai makna yang nyata, walaupun jumlah itu belum tentu mencukupi di bandar besar.
Namun, dasar upah tidak boleh diukur melalui kenaikan angka sahaja. Majikan perlu melihat pekerja muda sebagai pelaburan, bukan sekadar kos operasi. Graduan membawa ilmu, kebolehan menggunakan teknologi dan idea baharu yang boleh membantu organisasi berkembang.
Jika gaji terlalu rendah, sukar untuk menarik serta mengekalkan bakat, terutama dalam bidang yang memerlukan kemahiran khusus.
Pada masa yang sama, kebimbangan majikan juga perlu didengar. Perniagaan kecil berdepan kos sewa, bahan mentah dan utiliti yang meningkat.
Kenaikan upah tanpa peningkatan hasil atau produktiviti boleh menjadi tekanan, malah menyebabkan sesetengah syarikat menangguhkan pengambilan pekerja.
Oleh itu, pelaksanaan kerangka baharu mesti disertai tempoh penyesuaian yang munasabah, penerangan yang jelas dan sokongan meningkatkan kecekapan perniagaan.
Kos hidup mengikut lokasi juga berbeza. RM2,500 di bandar kecil tidak sama nilainya dengan RM2,500 di Kuala Lumpur. Justeru, kadar minimum mesti menjadi lantai perlindungan, bukan siling yang mengehadkan tawaran majikan.
Syarikat yang memerlukan kemahiran khusus sewajarnya membayar lebih berdasarkan tugas dan tanggungjawab pekerja.
Kerajaan perlu menjelaskan takrif graduan, jenis pekerjaan yang diliputi serta hubungan antara kadar RM2,000 dengan RM2,500. Panduan yang mudah difahami membolehkan majikan merancang kos dan pencari kerja menilai tawaran secara adil.
Kesan terhadap pengambilan pekerja baharu juga mesti dipantau agar kenaikan gaji tidak menyempitkan peluang pekerjaan.
Di sinilah latihan dan peningkatan kemahiran menjadi penting. Syarikat yang mahu membayar gaji lebih baik memerlukan pekerja yang mampu menghasilkan nilai lebih tinggi.
Graduan pula tidak boleh bergantung kepada sijil sahaja. Kemahiran berkomunikasi, menyelesaikan masalah, menguasai teknologi digital dan menyesuaikan diri dengan perubahan industri akan terus menentukan peluang mereka untuk berkembang.
Universiti juga mempunyai tanggungjawab besar. Program pengajian perlu sentiasa mengikuti keperluan industri tanpa mengabaikan asas ilmu dan pemikiran kritis.
Latihan industri yang berkualiti, kerjasama dengan majikan dan pendedahan kepada masalah sebenar di tempat kerja boleh membantu graduan memasuki pasaran dengan lebih bersedia.
Kejayaan universiti tidak seharusnya dinilai hanya melalui jumlah graduan mendapat pekerjaan, tetapi juga mutu pekerjaan dan perkembangan kerjaya mereka.
Lebih penting, penetapan kadar permulaan perlu diiringi laluan kenaikan gaji yang munasabah. Tiada gunanya graduan bermula pada RM2,500 sekiranya selepas beberapa tahun pendapatan mereka masih tidak banyak berubah.
Penilaian prestasi, latihan berterusan dan peluang kenaikan pangkat mesti bergerak seiring supaya pekerja melihat masa depan yang lebih meyakinkan.
Belanjawan 2027 telah meletakkan asas kepada perbincangan yang lebih besar tentang nilai tenaga kerja Malaysia.
Langkah memperkenalkan kerangka gaji graduan RM2,500 patut disambut baik, tetapi kejayaannya bergantung pada pelaksanaan yang teliti dan kerjasama kerajaan, majikan serta institusi pendidikan.
Matlamat akhirnya bukan sekadar memastikan anak muda memperoleh pekerjaan, sebaliknya pekerjaan yang menghargai kelayakan, memberi pendapatan bermaruah dan membuka peluang membina kehidupan lebih baik.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Mohamad Amirul Mohd Adnan Ali
Pegawai Komunikasi Korporat
Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat
Universiti Putra Malaysia