
SANDAKAN, 15 September – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merampas kontraban bernilai RM5.37 juta dalam tiga serbuan berasingan di Sandakan dan Kota Kinabalu pada 14 dan 15 September lalu.
- Rampasan melibatkan 3.55 juta batang rokok tidak bercukai bernilai RM4.89 juta serta 43,200 tin minuman keras disyaki tidak bercukai RM478,506.
- Operasi bersama SPRM membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 45 tahun.
- Sebuah lori bonded, bot laju, tiga enjin sangkut dirampas; kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(d) dan 135(1)(e) Akta Kastam 1967.
Rampasan itu membabitkan 3.55 juta batang rokok tidak bercukai pelbagai jenama bernilai RM4.89 juta serta 43,200 tin minuman keras disyaki tidak bercukai bernilai RM478,506.
Operasi bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Sungai Seguntur, Sandakan pada pukul 1.30 pagi, 15 September lalu, turut membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 45 tahun.
Serbuan di sebuah jeti tidak berdaftar itu turut membawa kepada rampasan sebuah lori bonded tiga tan, sebuah bot laju dan tiga unit enjin sangkut selain 1.82 juta batang rokok tidak bercukai bernilai kira-kira RM2.564 juta.
Hasil maklumat susulan daripada tangkapan itu, pasukan serbuan kemudian mengesan sebuah lagi bot laju yang disembunyikan di celah pokok bakau di Sungai Seguntur.

Pemeriksaan menemukan bot yang dilengkapi tiga unit enjin sangkut serta 1.73 juta batang rokok tidak bercukai, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM2.326 juta.
Sementara itu, dalam operasi berasingan pada 14 September, PPM Wilayah 4 Sabah menyerbu sebuah gudang tidak bernombor di Kampung Dambai, Jalan Tuaran Bypass, Kota Kinabalu.
Dalam serbuan itu, pihaknya menemukan 43,200 tin minuman keras disyaki tidak bercukai.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.
Bagi tempoh Januari hingga 15 September tahun ini, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 61 kes di bawah Akta Kastam 1967, dengan nilai rampasan keseluruhan RM8,386,812.61 serta 40 tangkapan.