
TEHRAN, 4 November – Presiden Donald Trump mengesahkan bahawa Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas Iran, sambil menyifatkan ia ‘serangan kecil’.
- Trump berkata AS menyerang kemudahan antipesawat di Pulau Qeshm malam tadi dan operasi itu berjaya.
- Perkembangan berlaku ketika pengundi AS bersiap untuk pilihan raya pertengahan penggal yang boleh menggugat kedudukan Trump.
- Trump menolak dakwaan sedang merancang untuk menyambung semula pengeboman selepas pilihan raya, kata beliau siap sedia bertindak jika perlu.
- Ketua perunding Iran kata sedia berperang; Timbalan menteri menegaskan hak Tehran mempertahankan diri; presiden mahu selesaikan melalui dialog.
“Mereka membina sebuah kemudahan antipesawat. Sebaik sahaja siap, kami menyerangnya malam tadi dengan jayanya,” kata Trump dalam temu bual bersama saluran berita Fox News, selepas beberapa media lain melaporkan serangan ke atas Pulau Qeshm di Selat Hormuz.
Perkembangan itu berlaku ketika pengundi AS bersiap sedia melaksanakan tanggungjawab mengundi dalam pilihan raya pertengahan penggal yang boleh menggugat kedudukan Trump.
Bagaimanapun, Trump menolak spekulasi bahawa beliau sedang membuat persiapan untuk menyambung semula pengeboman ke atas Iran selepas pilihan raya itu selesai.
“Kami nampaknya memperoleh segala yang kami mahukan.
“Saya bersedia, kami bersedia. Kami berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya sekiranya perlu bertindak, tetapi mungkin tiada sebab untuk berbuat demikian,” kata Trump kepada akhbar Financial Times Britain pada Selasa.
Ketua perunding Iran dalam rundingan dengan AS, Mohammad Bagher Ghalibaf berkata, Republik Islam itu bersedia untuk berperang, manakala Timbalan Menteri Luar Kazem Gharibabadi menegaskan bahawa Tehran masih mempunyai hak untuk mempertahankan diri secara sah susulan serangan berkenaan.
Bagaimanapun Presiden Iran Masoud Pezeshkian berkata, kerajaannya masih berusaha menyelesaikan krisis itu menerusi dialog, sambil menambah bahawa tiada siapa akan mendapat manfaat daripada perang, sekiranya konflik kembali tercetus.
Perang yang tercetus pada Februari susulan serangan besar-besaran AS dan Israel ke atas Iran itu menemui jalan buntu sejak beberapa bulan lalu. -AFP