
SEOUL, 4 November – Korea Utara melancarkan objek tidak dikenal pasti ke arah perairan di luar pantai timur negara itu pada Rabu.
- Korea Utara melaksanakan beberapa siri ujian senjata, meningkatkan ketegangan susulan insiden letupan periuk api di sempadan yang dikawal ketat.
- Ujian termasuk peluru berpandu kruis strategik dan ujian kepala peledak bom gugusan yang dilakukan pada hujung minggu lalu.
- Kim Yo Jong memberi amaran tindak balas lebih kuat terhadap dasar permusuhan AS dan menolak hasrat menyambung semula dialog.
“Korea Utara melancarkan peluru tidak dikenal pasti ke arah Laut Timur,” menurut kenyataan ringkas Ketua Turus Bersama Korea Selatan, merujuk kepada perairan yang turut dikenali sebagai Laut Jepun.
Negara bersenjata nuklear itu melaksanakan beberapa siri ujian senjata sejak beberapa hari lalu, ketika ketegangan antara Pyongyang dengan Seoul semakin memuncak susulan insiden letupan periuk api di sepanjang sempadan kedua-dua negara yang dikawal ketat.
Pelancaran terbaharu itu dilakukan sehari selepas Korea Utara menguji peluru berpandu kruis strategik, susulan satu lagi ujian kepala peledak bom gugusan pada hujung minggu lalu.
Siasatan bersama Seoul dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada awal bulan ini merumuskan bahawa Korea Utara telah menanam periuk api di Zon Bebas Tentera (DMZ) lebih setahun lalu, yang kemudian meletup.
Bagaimanapun, Pyongyang menafikan dakwaan itu dengan keras.
Dalam perkembangan berasingan, adik perempuan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) bahawa negaranya akan memberikan tindak balas lebih kuat terhadap “dasar permusuhan Washington yang tidak berubah” terhadap Pyongyang.
Beliau turut memberi isyarat bahawa Korea Utara tidak berminat untuk menyambung semula dialog dengan Washington.
“Dalam realiti semasa, apabila rekod baharu terus dicatatkan dalam pelaksanaan dasar permusuhan AS terhadap Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK), adalah wajar jika rekod baharu turut dicipta dalam tindakan balas kami,” kata Kim Yo Jong yang dipetik Agensi Berita Pusat Korea (KCNA). -AFP