
WASHINGTON, 4 November – Parti Demokrat berjaya menguasai Dewan Perwakilan dan semakin hampir merampas kawalan Senat dalam pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat (AS), sekali gus menjadi tamparan hebat kepada Presiden Donald Trump.
- Kekecewaan pengundi terhadap pentadbiran Trump disebabkan kos sara hidup, tarif perdagangan dan konflik dengan Iran.
- Kejutan kemenangan Demokrat di negeri konservatif termasuk Annie Andrews dan J.D. Ford menandakan lonjakan momentum.
- Dua kerusi Republikan dirampas, persaingan bagi menguasai Senat masih terbuka; Demokrat perlukan empat kerusi tambahan.
- Majoriti di Dewan membolehkan jawatankuasa Kongres menyiasat perang Iran, pengusiran pendatang dan dakwaan rasuah pentadbiran.
Unjuran CNN dan CNBC menunjukkan Demokrat memperoleh majoriti di Dewan Perwakilan, membolehkan parti pembangkang menyekat agenda perundangan Trump serta melancarkan siasatan terhadap pentadbirannya dalam baki dua tahun penggal presiden.
Keputusan pilihan raya itu mencerminkan ketidakpuasan hati rakyat terhadap pentadbiran penggal kedua Trump, terutama berhubung isu peningkatan kos sara hidup, tarif perdagangan dan perang AS terhadap Iran yang menyebabkan harga bahan api melonjak.
Antara kejutan terbesar ialah kemenangan calon Demokrat, Annie Andrews di South Carolina selepas menewaskan Darline Graham, calon yang mendapat sokongan Trump.
Demokrat tidak pernah memenangi pilihan raya Senat di negeri konservatif itu, sejak 1998.
Demokrat turut mencatat kemenangan di North Carolina menerusi bekas gabenor Roy Cooper, selain mengekalkan kerusi Senat di Georgia dan New Hampshire.
Parti Republikan sebelum ini menguasai Senat dengan majoriti 53-47, manakala Demokrat memerlukan empat tambahan kerusi bersih untuk mengambil alih kawalan.
Dengan dua kerusi Republikan berjaya dirampas, persaingan bagi menguasai dewan itu masih belum selesai.
Momentum kemenangan turut memihak kepada Demokrat dalam persaingan Dewan Perwakilan apabila parti itu merampas beberapa kerusi di kawasan yang lazimnya menyokong Republikan.
Di Indiana, calon Demokrat J.D. Ford menewaskan penyandang daripada Republikan Victoria Spartz dalam kawasan yang dimenangi Trump dengan kelebihan 17 mata peratusan pada 2024.
Demokrat turut merampas kerusi Republikan di North Carolina, manakala bekas Datuk Bandar Atlanta, Keisha Lance Bottoms memenangi jawatan gabenor Georgia, sekali gus menjadi wanita kulit hitam pertama dipilih sebagai gabenor dalam sejarah AS.
Senator Demokrat, Jon Ossoff menyifatkan kemenangan parti itu sebagai penolakan rakyat terhadap “keburukan, rasuah dan ketidakcekapan” pentadbiran Trump.
Penguasaan Demokrat di Dewan Perwakilan membolehkan jawatankuasa Kongres menyiasat perang Iran, pengusiran besar-besaran pendatang serta dakwaan rasuah dalam pentadbiran Trump.
Sekiranya turut kehilangan Senat, usaha Trump mendapatkan pengesahan calon hakim dan pelantikan pegawai kanan pentadbiran juga berdepan halangan.
Isu kos sara hidup menjadi antara tumpuan utama pengundi sepanjang kempen, termasuk peningkatan sewa rumah, harga barangan keperluan, bil utiliti dan cukai hartanah.
Trump bagaimanapun mempertahankan rekod pentadbirannya dalam penampilan televisyen terakhir pada Selasa dengan menegaskan dasar tarif, kawalan imigresen dan kempen ketenteraan terhadap Iran sebagai pencapaian kerajaan pimpinannya.
Beliau sebelum ini turut memberi bayangan akan menggunakan kuasa veto terhadap rang undang-undang sekiranya berdepan Kongres yang dikuasai pembangkang, meskipun mengakui kemungkinan perlu berunding dengan Demokrat. -AFP