
SERIAN, 4 November – Kegiatan mencuri kabel telekomunikasi di Kampung Lobang Batu, Mawang, di sini menyebabkan gangguan perkhidmatan telefon dan internet dalam lingkungan kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi kejadian.
- Laporan diterima 3 November kira-kira 5.58 petang oleh jurutera syarikat yang menyenggara pencawang telekomunikasi.
- Siasatan awal mendapati beberapa kabel telekomunikasi dipotong dan dipercayai dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab.
- Kejadian menyebabkan kerugian kepada syarikat dan menjejaskan penduduk yang bergantung pada telefon serta perkhidmatan internet.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan; orang ramai diminta menghubungi Sarjan Bujang 019-5350120 atau balai polis.
Ketua Polis Daerah Serian, Superintenden Freddy Bian Stanislaus Bian berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kecurian dan kerosakan kabel itu pada 3 November lalu, kira-kira 5.58 petang.
Beliau berkata, laporan dibuat oleh seorang jurutera syarikat yang bertanggungjawab menyelenggara peralatan di pencawang telekomunikasi berkenaan.
“Siasatan awal mendapati beberapa kabel telekomunikasi telah dipotong dan dipercayai dicuri oleh individu tidak bertanggungjawab.
Kejadian itu bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada syarikat telekomunikasi, malah turut menjejaskan penduduk setempat yang bergantung kepada perkhidmatan telefon dan internet untuk urusan harian,” katanya dalam satu kenyataan.
Polis memandang serius kejadian itu kerana perbuatan mencuri dan merosakkan kemudahan telekomunikasi boleh menjejaskan perkhidmatan kepada masyarakat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti dan mengesan individu yang terbabit.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Bujang Abdul Rahim Anak Joni menerusi talian 019-5350120 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.